Singapura, Malaysia perlu saling membantu jadikan wilayah ASEAN bersatu, berwibawa - Halimah

Bernama
Mac 21, 2023 19:00 MYT
Singapura dan Malaysia selaku antara pengasas ASEAN dan rakan kongsi, perlu membantu rantau ini kekal bersatu dan berwibawa, kata Presiden Singapura Halimah Yacob. - Foto Facebook Istana Negara
KUALA LUMPUR: Singapura dan Malaysia selaku antara pengasas ASEAN dan rakan kongsi, perlu membantu rantau ini kekal bersatu dan berwibawa, kata Presiden Singapura Halimah Yacob.
Halimah berkata ini penting memandangkan persekitaran luaran yang semakin tidak keruan dan mencabar ekoran persaingan kuasa besar, prospek ekonomi global tidak menentu berikutan krisis di Ukraine dan kesan jangka masa panjang akibat COVID-19.
"Tanpa persekitaran luaran yang stabil, kita semua di ASEAN akan merasa lebih sukar untuk mengubah ekonomi dan meningkatkan kehidupan rakyat kita. Saya yakin Singapura dan Malaysia boleh bekerjasama untuk memajukan kepentingan negara serta ASEAN," katanya.
Halimah berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Jamuan Negara yang dihoskan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini, pada Selasa.
Turut berangkat hadir Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Halimah berkata sejak tiga tahun lalu, Singapura dan Malaysia berganding bahu dalam menangani COVID-19.
"Saya gembira menyatakan bahawa bulan depan menandakan ulang tahun pertama pembukaan semula sempadan Malaysia Singapura sejak wabak itu. Lalu lintas perjalanan udara dan darat antara kedua-dua negara kita telah kembali ke tahap sebelum pandemik.
"Saya berbesar hati kerana sejak sempadan kita dibuka semula sepenuhnya pada April 2022, terdapat lebih satu juta rakyat Singapura berkunjung ke Malaysia setiap bulan melalui pusat pemeriksaan darat kami," katanya.
Apabila Pautan Sistem Transit Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura siap menjelang 2026, Halimah melahirkan keyakinan bahawa jalinan antara dua jiran yang sudah rapat akan diperkukuh lagi.
Halimah berkata terdapat pelbagai skop kerjasama baharu dan menarik yang boleh diperluas oleh kedua-dua negara bagi manfaat bersama.
"Memandangkan perniagaan dan masyarakat semakin tertumpu kepada rangkaian atas talian, kita memerlukan rangka kerja untuk mempromosikan kesejahteraan digital, menjamin infrastruktur siber dan menutup jurang digital.
"Memandangkan peralihan ekonomi kita untuk dikuasakan dengan sumber tenaga yang lebih boleh diperbaharu dan rendah karbon, kita memerlukan peraturan yang munasabah untuk melindungi alam sekitar dan menggalakkan pertumbuhan mampan serta inovasi teknologi," katanya.
Terdahulu Halimah diberikan Sambutan Negara di Istana Negara sempena lawatan sulung tiga harinya ke Malaysia yang bermula semalam.
Pada 2022, Singapura merupakan rakan dagangan global kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah US$83.53 bilion - meningkat 29.4 peratus berbanding nilai yang direkodkan pada 2021.
-- BERNAMA
#Singapura #Malaysia #ASEAN #Halimah Yacob
;