Singapura lebih tegas banteras rasuah berbanding Malaysia
Ridauddin Daud
Januari 28, 2021 20:32 MYT
Januari 28, 2021 20:32 MYT
KUALA LUMPUR: Kedudukan Singapura jauh lebih baik daripada Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) kerana negara itu sudah lama mengenakan tindakan tegas terhadap perasuah, tidak kira siapa pun.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, Malaysia perlu belajar dari negara jiran itu jika benar-benar mahu membanteras rasuah secara lebih baik selepas ini.
“Ini bukan perkara baharu. Mereka (Singapura) ambil tindakan tegas, tak kira siapa. Ini ada satu cerita benar. Ada satu menteri pergi bercuti di luar negara dan segala kosnya dibayar satu syarikat, bererti ada hubungan dengan menteri dalam projek.
“Sebaik saja beliau turun di lapangan terbang, beliau ditahan penguatkuasa, dituduh, dibawa ke mahkamah dan dipecat selepas itu.
“Di Singapura, struktur itu sudah mula lama dan kita perlu ambil itu sebagai tauladan untuk majukan situasi dalam negara kita,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Agenda AWANI pada Khamis.
Tambahnya, dalam kalangan negara Islam, Malaysia juga ketinggalan agak jauh.
“Kita jauh di belakang, yang pertama ialah Emiriyah Arab Bersatu (UAE), kita juga di belakang Qatar dan negara-negara lain.
[INFOGRAFIK] Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Malaysia (2015-2020)
“Kita harap sebagai negara Islam, majoriti di sini orang Islam, kita harus mengambil tindakan yang lebih lagi supaya kita dapat maju.
“Kalau boleh kita perlu jadi nombor satu bagi negara Islam dalam memerangi rasuah ini,” tegas beliau.
Astro AWANI pada Khamis melaporkan kedudukan Malaysia dalam CPI bagi tahun 2020 jatuh ke tangga 57 daripada 180 negara berbanding tangga 51 pada 2019.
Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100, berbanding 53, pada tahun sebelumnya.
"Antara perkara yang mempengaruhi skor ini adalah kegagalan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik, serta beberapa pendakwaan rasuah yang digugurkan seperti melibatkan Riza Aziz, Datuk Seri Musa Aman dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Pada masa sama, faktor akses yang terhad kepada informasi yang melibatkan kepentingan rakyat. Ia termasuk nilai pampasan berkait Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan pampasan kepada Goldman Sachs mengenai kes 1MDB yang masih belum diketahui," ujar Muhammad Mohan lagi.
#Rasuah
#CPI
#Indeks Persepsi Rasuah
#Persepsi Rasuah
#rakyat
#menteri
#mahkamah
#Singapura
#UAE
#Qatar
#bercuti
#luar negara
#Menteri Singapura