Singapura: Lawatan Panglima TLDM perkukuh hubungan ketenteraan
Bernama
November 22, 2021 05:48 MYT
November 22, 2021 05:48 MYT
SINGAPURA: Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany yang dalam rangka lawatan pengenalan ke Singapura mengadakan kunjungan terhadap Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen, di Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Isnin.
Ketika kunjungan itu, Dr Ng dan Mohd Reza mengulangi semula kepentingan mengekalkan hubungan yang kukuh antara Tentera Laut Republik Singapura (RSN) dan TLDM selain berbincang berkaitan kerjasama pertahanan mengenai cabaran keselamatan bersama di rantau ini.
Selain itu, Mohd Reza turut bertemu Panglima Angkatan Tentera Leftenan Jeneral Melvyn Ong dan Panglima Tentera Laut Laksamana Muda Aaron Beng selepas memeriksa Kawalan Kehormat, menurut kementerian itu di laman sesawangnya semalam.
Menurut MINDEF Singapura , Mohd Reza dalam rangka lawatan pengenalan ke Singapura dari 21 hingga 23 Nov.
Antara atur cara program lawatan itu, beliau melawat Pangkalan Tentera Laut Tuas dan diberi peluang mengunjungi Pusat Simulator (SIMCEN) Kapal Littoral Mission (LMV) serta Kapal RSS Daring dan Kapal LMV RSS Justice.
"Lawatan Mohd Reza memperlihatkan hubungan pertahanan dua hala yang erat antara Singapura dan Malaysia sejak sekian lama.
"RSN dan TLDM sering berinteraksi melalui latihan dua hala, lawatan, pertukaran profesional, kursus serta platform pelbagai hala seperti Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus," katanya.
MINDEF Singapura menyatakan kedua-dua pihak juga bekerja rapat untuk meningkatkan keselamatan maritim serantau melalui Rondaan Selat Melaka.
"Interaksi ini telah mengukuhkan persefahaman bersama dan hubungan profesional anggota antara kedua-dua pihak," katanya.
-- BERNAMA