Singapura ketatkan had pelepasan asap kenderaan diesel asing mulai April 2026
Bernama
Julai 1, 2024 04:00 MYT
Julai 1, 2024 04:00 MYT
SINGAPURA: Kenderaan diesel komersial berdaftar asing dengan pelepasan asap sebanyak 50 Unit Asap Hartridge (HSU) atau lebih akan berpatah balik di pusat pemeriksaan darat dan tidak dibenarkan masuk ke Singapura bermula 1 April, 2026.
Ringkasan AI
- Kenderaan diesel komersial asing dengan pelepasan asap melebihi 50 HSU tidak akan dibenarkan masuk ke Singapura mulai 1 April 2026.
- Motosikal berdaftar asing sebelum 1 Julai 2003 tidak akan dibenarkan berada di jalan raya Singapura mulai 1 Julai 2028.
- Pemandu yang tidak mematuhi peraturan pelepasan akan dikenakan denda sehingga S$2,000 di bawah peraturan perlindungan dan pengurusan alam sekitar.
Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) berkata, had 50 HSU adalah selaras dengan piawaian pelepasan di bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Kemudahan Barangan dalam Transit.
"Enam bulan sebelum pelaksanaan dari 1 Okt, 2025 hingga 31 Mac, 2026, NEA akan mengeluarkan nasihat kepada kenderaan diesel komersial asing yang memasuki Singapura untuk mengingatkan mereka tentang had baharu dan tarikh pelaksanaan," kata agensi itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
NEA berkata, pada masa ini, jika pelepasan asap kenderaan diesel komersial tempatan atau asing diuji dan didapati melebihi 40 HSU, pemandu akan dikenakan denda komposisi manakala kenderaan diesel komersial asing dengan 60 HSU atau lebih tidak dibenarkan memasuki negara ini.
Sementara itu, motosikal berdaftar asing yang didaftarkan di negara asal mereka sebelum 1 Julai, 2003 tidak akan dibenarkan berada di jalan raya Singapura mulai 1 Julai, 2028 untuk mematuhi piawaian pelepasan yang ditetapkan oleh republik itu.
Ini adalah lanjutan kepada peraturan yang diumumkan sebelum ini pada April 2018 yang melibatkan motosikal tempatan kerana motosikal yang lebih lama ini umumnya lebih mencemarkan berbanding motosikal yang mematuhi piawaian pelepasan Euro yang lebih baharu.
Pemandu yang tidak mematuhi peraturan boleh dikenakan denda sehingga S$2,000 (RM6,960) untuk kesalahan pertama di bawah Peraturan Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar (Pelepasan Kenderaan).
NEA berkata, pihaknya mengambil pendirian tegas terhadap ketidakpatuhan kepada piawaian pelepasan yang ditetapkan Singapura untuk melindungi kualiti udara di negara ini. - BERNAMA