Singapura disenarai negara penularan VOC SARS-CoV-2 - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Mei 10, 2021 18:25 MYT
Dr Noor Hisham berkata, pengembara dari Singapura juga tertakluk kepada SOP kemasukan pengembara dari negara-negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan semua pengembara yang masuk ke Malaysia dari Singapura dan pengembara yang menggunakan kemudahan Skim Periodic Communicating Arrangement (PCA) perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang telah diwartakan oleh kerajaan bermula pada 13 Mei 2021.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pengembara dari Singapura juga tertakluk kepada SOP kemasukan pengembara dari negara-negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Bilangan 30 Tahun 2021 pada 7 Mei 2021 telah bersetuju untuk menyenaraikan negara Singapura sebagai salah sebuah negara yang melaporkan penularan Variant of Concern (VOC) SARS-CoV-2 dalam komuniti.
"Ia berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura, di mana laporan kes tersebut melibatkan varian Afrika Selatan B.1.351, varian United Kingdom B.1.1.7, varian Brazil B.1.1.28 (P1), termasuklah Variant of Interest (VOI) dari India iaitu B.1.617.1.," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain itu jelas Dr Noor Hisham, Sidang Khas MKN juga telah bersetuju Skim Reciprocal Green Lane (RGL) Malaysia-Singapura digantung sementara waktu di peringkat Malaysia bermula pada 13 Mei 2021.
"Pengembara dari Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan perlu menggunakan saluran One Stop Centre (OSC) yang disediakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Malaysia (MIDA).
"KKM akan sentiasa mengemaskini senarai negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti dan akan memaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa," jelas kenyataan itu.
#SOP #KKM #Singapura #keselamatan #MKN #Brazil #Noor Hisham Abdullah #India #United Kingdom #Kementerian Kesihatan #Majlis Keselamatan Negara #Afrika Selatan #Dr Noor Hisham Abdullah #COVID-19
;