Singapura dan Malaysia setuju cari jalan penyelesaian isu air
Firdaus Azil
April 9, 2019 13:26 MYT
April 9, 2019 13:26 MYT
Pertemuan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong di Bangunan Putra Perdana, di sini, berlangsung dalam suasana positif, walaupun mereka membincangkan beberapa isu kritikal antara dua negara, termasuk Perjanjian Air 1962.
Dalam sidang media bersama selepas pertemuan itu, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju bahawa rundingan yang diketuai Peguam Negara masing-masing akan diteruskan bagi mencapai situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak.
“Bagi Malaysia, penyelesaian isu harga air yang telah berlarutan sekian lama merupakan antara keutamaan Malaysia. Kami telah mengadakan pertemuan secara aktif untuk menyemak semula penilaian yang dilakukan pada awal 90an dan 2000.
“Perdana Menteri Lee dan saya bersetuju untuk mencari jalan penyelesaian, termasuk kemungkinan penyelesaian pertikaian melalui timbang tara, yang dipersetujui kedua-dua belah pihak,” katanya kepada sidang media.
Sementara itu Lee berkata, pendirian Singapura masih tetap iaitu Malaysia telah hilang haknya untuk menilai semula perjanjian itu.
Namun, katanya itu tidak sama sekali menghalang perbincangan terus dilakukan dalam suasana yang positif, mengambil kira hubungan baik antara dua negara sejak sekian lama.
“Kami telah bersetuju pada November lepas bahawa Peguam Negara kami akan bertemu untuk memahami kedudukan perundangan kedua-dua negara tentang hak ke atas perjanjian itu,” katanya lagi.
Sidang media itu diadakan sempena Permukiman Pemimpin Malaysia dan Singapura kali kesembilan, yang diadakan selama dua hari bermula semalam, di Putrajaya.
#Dr Mahathir Mohamad
#Lee Hsien Loong
#Perdana Menteri Malaysia
#Perdana Menteri Singapura
#Perjanjian Air 1962
#Perjanjian Air Malaysia Singapura
#Permukiman Pemimpin Malaysia dan Singapura