Singapura cadang bertemu Malaysia mengenai Kawasan Larangan meliputi ruang udara Pasir Gudang

Bernama
Januari 1, 2019 21:10 MYT
Pandangan udara Pasir Gudang dan Singapura. - Foto Google map
Singapura telah mencadangkan untuk bertemu dengan Malaysia bagi membincangkan pewujudan Kawasan Larangan kekal oleh Kuala lumpur bagi tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang berkuatkuasa 2 Jan, 2019.
Kementerian Pengangkutan Singapura berkata Kawasan Larangan itu yang berada dalam lingkungan ruang udara yang terkawal dan sesak akan memberi impak kepada operasi sedia ada dan operasi biasa oleh pesawat yang melalui ruang udara tersebut.
"Kami telah membangkitkan kepada Malaysia tentang kebimbangan kami terhadap kesan buruk Kawasan Larangan ke atas penerbangan awam," kata kementerian dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan pertanyaan media mengenai pewujudan Kawasan Larangan oleh Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia telah mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Dis, 2018.
BACA: Singapura harap hubungan dua hala dengan Malaysia terus kukuh
BACA: ILS perlu dibincang di meja rundingan - Anthony Loke
Melalui notis tersebut, Malaysia telah memaklumkan kepada pihak berkaitan penerbangan mengenai pewujudan Kawasan Larangan kekal untuk tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang berkuatkuasa 2 Jan, 2019, kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
#aktiviti ketenteraan #kawasan larangan #Malaysia #NOTAM #Notis kepada Juruterbang #operasi #Pasir Gudang #penerbangan #pesawat #ruang udara #Singapura