Singapura bimbang kesan rentas sempadan kerja tambak di Selat Johor

Bernama
Jun 21, 2014 07:59 MYT
SINGAPURA: Ada kewajipan antarabangsa bagi pihak berkuasanya dan Malaysia untuk bekerjasama.
Singapura menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan kesan merentasi sempadan ke atas republik itu akibat projek pembangunan hartanah di Selat Johor.
Sebagai respons kepada pertanyaan media berhubung projek pembangunan hartanah Malaysia membabitkan kerja-kerja penambakan tanah di Selat Johor, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar berkata:
"Memandangkan kedudukan Johor yang berdekatan Singapura, kami pasti bimbang mengenai kemungkinan sebarang kesan merentasi sempadan ke atas Singapura akibat projek pembangunan hartanah membabitkan kerja-kerja penambakan di Selat Johor.
Jurucakap itu berkata ada kewajipan antarabangsa bagi pihak berkuasa Malaysia dan Singapura untuk bekerjasama dalam perkara seumpama itu.
"Kami telah meminta pihak berkuasa Malaysia memberi maklumat lanjut secepat mungkin mengenai kesan kerja-kerja penambakan ke atas Singapura dan Selat Johor.
"Mereka bersetuju untuk berbuat demikian dan kami berharap untuk mendapat maklumat itu dalam masa terdekat," kata jurucakap itu.
#kesan rentas sempadan #Malaysia #Selat Johor #Singapura #Tambak Johor
;