Singapura berminat wujudkan gelembung perjalanan udara dua hala dengan Malaysia
Bernama
Oktober 30, 2020 17:24 MYT
Oktober 30, 2020 17:24 MYT
SINGAPURA: Singapura, yang baru-baru ini mencapai kata sepakat secara prinsip untuk mewujudkan Gelembung Perjalanan Udara dua hala dengan Hong Kong, kini berminat menjalin kerjasama serupa dengan Malaysia pada masa yang sesuai.
"Saya benar-benar ingin mewujudkan gelembung perjalanan udara dengan Malaysia," kata Menteri Pengangkutan republik itu Ong Ye Kung kepada Editor Berita The Straits Times Karamjit Kaut dalam satu temu bual eksklusif pada Khamis.
"Bagaimanapun setakat ini, jumlah kes (COVID-19) di Malaysia cukup tinggi jadi saya rasa kita perlu tunggu dan lihat... Kami tahu dan penilaian para pegawai penjagaan kesihatan kami menunjukkan bahawa Malaysia amat serius dalam usaha menangani virus ini. Jadi saya berharap mereka akan berjaya mengekang lonjakan kes pada gelombang kali ini.
"Apabila masanya sesuai, saya pasti akan mengusulkannya (gelembung perjalanan udara) kepada mereka," kata Ong.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat rancangan mengadakan perjalanan lebih kerap antara Singapura dan Malaysia, yang merupakan antara laluan udara tersibuk di rantau ini.
Setakat ini kedua-dua negara bersetuju mewujudkan dua perjalanan rentas sempadan iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).
-- BERNAMA
#Singapura
#gelembung perjalanan udara
#Hong Kong
#Malaysia
#Ong Ye Kung
#COVID-19
#Laluan Hijau Timbal Balik
#RGL
#Peraturan Ulang Alik Berkala
#PCA