Singapura berjaya sediakan rumah buat 80% rakyat tanpa kira bangsa - KPKT

Nailah Huda
Januari 23, 2023 12:29 MYT
KPKT bercadang untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan dari Singapura mengambil kira aspek pengurusan perumahan mampu milik negara itu.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan dari Singapura mengambil kira aspek pengurusan perumahan mampu milik negara itu yang berjaya menyediakan perumahan awam buat 80 peratus rakyat Singapura yang layak, tanpa mengira bangsa.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan beberapa hari selepas Menteri KPKT Nga Kor Ming menerusi program Agenda AWANI memaklumkan bahawa kerajaan Singapura bersetuju untuk meminjamkan pakar mereka bagi berkongsi pengalaman dengan KPKT.
Jelas KPKT, Dasar Perumahan Negara sedia ada akan dikaji semula berdasarkan rangkuman intisari konsep ‘Madani’.
“Melalui pembangunan dasar perumahan baharu dan perancangan yang lebih teratur, KPKT percaya sasaran untuk penyediaan 500,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2025 akan berjaya melalui kerjasama semua agensi perumahan di peringkat Persekutuan, negeri dan pemaju swasta.
“KPKT sedang mengkaji dasar perumahan negara bagi melihat sektor perumahan secara menyeluruh khususnya dalam meningkatkan pelaksanaan rumah mampu milik dan penyediaan perumahan awam,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, KPKT akan melihat beberapa contoh dasar perumahan negara-negara lain termasuk Singapura terutamanya dalam perumahan awam dan mampu milik berdasarkan kejayaan negara itu menyediakan perumahan awam atau sosial untuk 8 peratus rakyatnya yang layak dan memerlukan tanpa mengira bangsa.
“Ini membolehkan Dasar Perumahan Negara yang baharu kelak mengambil kira pelbagai keperluan rakyat mengikut acuan budaya, adat resam, agama dan berbilang kaum di Malaysia.
“Mengambil kira aspek pengurusan perumahan mampu milik Singapura, KPKT bercadang untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan daripada negara tersebut bagi mengukuhkan strategi pembangunan perumahan negara berpaksikan kerangka dasar madani yang menerapkan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.”
Pada Selasa lalu, Kor Ming berkata bahawa Malaysia mendapat persetujuan kerajaan Singapura untuk menghantar beberapa pakar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dijangka pada bulan depan.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk mempelajari daripada negara lain seperti Jepun dan China sebagai komitmennya untuk memberi tumpuan khusus kepada sektor perumahan.
#KPKT #perumahan #Singapura #Nga Kor Ming
;