Singapura akan memperkenalkan satu rang undang-undang pada sidang Parlimen berikutnya iaitu pada 4 Mei bagi membolehkan upacara akad nikah dalam perkahwinan orang Islam dilangsungkan secara jarak jauh menggunakan teknologi semasa penularan pandemik COVID-19.

"Kita boleh menjangkakan untuk memulakan proses ini dari pertengahan Mei dan seterusnya, jika undang-undang itu digubal," kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee di laman Facebook beliau pada Ahad.

Lee berkata jika semuanya berjalan lancar, kementerian itu berharap akan dapat memanjangkan perkara ini sebagai satu pilihan kepada lebih ramai pasangan, meskipun selepas berakhirnya tempoh Pemutus Rantaian bagi COVID-19.

Singapura memasuki minggu keempatnya minggu depan bagi langkah ketat pemutus rantaian wabak itu yang akan berakhir pada 1 Jun.

"Kami juga akan meneruskan upacara akad nikah yang dikendalikan secara berdepan apabila keadaan selamat untuk berbuat demikian," katanya.

Semasa tempoh pemutus rantaian wabak itu, Lee berkata upacara akad nikah bagi perkahwinan sivil dan orang Islam telah ditangguhkan memandangkan ia perlu dilakukan dengan kehadiran fizikal.

-- BERNAMA