Singapura arah tarik balik telur dari Lay Hong Layer Farm Jeram

Bernama
Mac 13, 2021 11:13 MYT
SE boleh dihapuskan dengan pemanasan dan telur yang tercemar selamat untuk dimakan jika dimasak dengan betul. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Singapura telah mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram di Malaysia, sebagai langkah berjaga-jaga.
Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman sesawang mereka menyatakan arahan itu dibuat berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak.
"Arahan menarik balik itu sedang berjalan. Ladang itu juga digantung dan SFA akan hanya menarik balik penggantungan itu apabila ladang itu telah menyelesaikan isu pencemaran SE tersebut," menurut kenyataan disiarkan di laman sesawang SFA.
SE boleh dihapuskan dengan pemanasan. Telur adalah selamat untuk dimakan jika dimasak dengan betul, menurut kenyataan itu, dan menambah, simptom jika terkena jangkitan termasuk cirit-birit, sakit perut, demam, mabuk dan muntah-muntah.
Pengimport terbabit adalah Ang Seng Eggs Supplier, Dasoon Pte Ltd, Heng Guan Food Industrial Pte Ltd dan Lam Leng Trading Co.
Sumber Facebook SGFoodAgency
-- BERNAMA
#Agensi Makanan Singapura #SFA #Singapore Food Agency #Salmonella Enteritidis #SE #telur #Singapura #Malaysia #Lay Hong Berhad #Layer Farm Jeram #langkah berjaga-jaga #tarik balik #pasaran #mentah #separuh masak #cirit-birit #pencemaran #ladang
;