Sindrom leher media sosial: Pantau sebelum anak alami sakit mental - Pakar

Wan Syamsul Amly
September 14, 2020 10:00 MYT
Laman Facebook Public Health Malaysia sebelum ini menyiarkan kesan Sindrom leher media sosial terutama kepada anak-anak kecil. - UNSPLASH
IBU bapa perlu mengawal dan mengehadkan penggunaan peranti anak-anak kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan sakit mental jika keterlaluan.
Pakar Perunding Kanak-Kanak Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Faisal Mohd Fadzli berkata kanak-kanak akan mengalami kesan jangka pendek yang akan menjadi semakin teruk jika dibiarkan untuk tempoh masa yang lama.
"Kesederhaan yang penting, maknanya kita tidak boleh lari dengan perkembangan teknologi tetapi boleh kawal penggunaan.
"Kita sudah tengok kesan jangka pendek agak serius -- mata, leher dan kesan kepada mental boleh terjadi.
"Jadi ikut saranan diberikan, hadkan penggunaan masa, jangan pakai lama-lama. Sebenarnya yang kena ubah ibu dan ayah.
"Kesannya kita boleh nampak kepada anak-anak ini, risikonya akan menjadi lebih besar nanti.
"Ia berkait dengan anak-anak, bila mereka banyak masa tengok telefon pintar, akan menjadi lebih obesiti, jadi badan akan juga jadi lemah," katanya semasa ditemui, di sini, pada Isnin.
Laman Facebook Public Health Malaysia sebelum ini menyiarkan kesan sindrom leher media sosial terutama kepada anak-anak kecil.
Ia boleh menyebabkan masalah serius untuk jangka masa panjang kerana saiz kepala anak berbanding badan mereka sewaktu kecil lebih besar berbanding saiz kepala dan badan sewaktu dewasa.
Ia sekali gus meningkatkan risiko kepada anak-anak untuk mendapat masalah ini.
Nada sama disuarakan Pakar Perunding Bedah Ortopedik Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Abdul Hadi Husin yang menyifatkan sindrom ini bakal membawa akibat buruk dalam tempoh yang lama.
Ujarnya, kira-kira 30 sehingga 40 peratus pesakitnya juga dirujuk berkenaan sindrom leher media sosial.
"Paling penting ialah pencegahan, kita perlu penjagaan diri, penting jika berlaku, ada cara yang boleh dibuat untuk mengurangkan kesakitan; ada rawatan, jika boleh jangan sehingga tahap teruk.
"Dapatkan rawatan awal untuk elak kesakitan itu berterusan dan mungkin bila keadaan teruk, peluang pulih sepenuhnya kurang.
"Kebiasaaanya ia berkaitan tabiat, tetapi dalam keadaan ini dalam lingkungan 30 ke 40 peratus pesakit datang mengalami sakit leher disebabkan kerap melihat telefon.
"Kemungkinan juga disebabkan oleh penggunaan gajet dan sebagainya."
Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan melihat gajet sebagai keperluan namun umpama pisau kalau salah digunakan.
Tegasnya, ibu bapa perlu membantu mengawal disiplin diri dan mengawal penggunaan peranti termasuk membuat pengadualan penggunaan kepada anak-anak.
"Saya kira mungkin pertama anak-anak menggunakannya pada waktu malam tanpa cahaya dan kedudukan gajet yang tidak sihat tentunya akan memberi kesan kepada anak-anak malah saya kira kebanyakannya di peringkat awal merasakan baik tetapi jangka panjang beri kesan mudarat kepada kesihatan.
"Misalnya kepada penggunaan gajet, kalau anak-anak menggunakan tanpa kawalan, guna gajet dengan begitu lama tanpa rehat atau waktu senggang, waktu perlu rehat akan memberi kesan kepada leher.
"Khasnya kepada pemikiran dan otak mereka yang barangkali tak berfungsi dengan baik pada masa akan datang," ujarnya.
#Dr Faisal Mohd Fadzli #Facebook #Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur #Kanak-kanak #media sosial #Mohamad Ali Hasan #Pakar Perunding Kanak-Kanak #sindrom leher media sosial #telefon pintar
;