Sindiket urus nikah poligami secara ekspres dikesan di Kedah
Astro Awani
Mei 7, 2014 10:09 MYT
Mei 7, 2014 10:09 MYT
Seorang imam didakwa menjadi dalang sindiket nikah poligami ekspres yang dikesan di Kuala Kedah bagi mengaut keuntungan berganda dan jalan pintas melangsungkan pernikahan bagi mereka yang ingin berpoligami.
Pelanggan sindiket juga disifatkan tidak perlu persetujuan isteri pertama dan tidak perlu kebenaran mahkamah syariah untuk berpoligami.
Ia satu proses pernikahan yang meragukan, apabila tidak memerlukan wali serta saksi hanya menandatangani sijil nikah pasangan berkenaan tanpa perlu hadir ke majlis pernikahan.
Malah pernikahan di lakukan di rumah imam berkenaan bagi merahsiakan kegiatan tersebut dan sijil nikah yang dikeluarkan menggunakan tandatangan palsu.
Selain itu, sindiket menggunakan surat kebenaran dari mahkamah syariah yang palsu untuk berpoligami bagi meyakinkan pasangan dan imam yang menjalankan proses perkahwinan.
Kegiatan itu terbongkar selepas beberapa ahli Jawatankuasa Bertindak Masjid di Kuala Kedah membuat laporan polis.
Seorang ahli jawatankuasa masjid, Mohd Shariff Nawab, 66, berkata sindiket yang bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu itu mengenakan bayaran RM3,000 hingga RM5,000.
Jelasnya, kebanyakan pasangan yang ingin berpoligami rata-ratanya bukan dari Kedah.
Katanya, bagi membolehkan pernikahan dilakukan, sindiket berkenaan turut menukar alamat pengantin perempuan ke mana-mana alamat rumah orang lain di sekitar kuala kedah.
Pasangan itu kemudian diijab kabulkan tanpa wali malah taraf perkahwinan dalam sijil nikah tertulis status anak dara walaupun status sebenar pengantin perempuan adalah janda.
Khdimat sindiket itu mendapat sambutan hangat kerana pengantin lelaki tidak perlu bersusah payah melalui prosedur ketat di pejabat agama termasuk mendapatkan kebenaran dari mahkamah syariah sebagai syarat untuk berpoligami.
Dalam pada itu, beberapa ahli jawatankuasa masjid lain turut menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan khidmat pernikahan ini kerana ia dikatakan tidak sah.
Setakat ini jelas mereka, sindiket berkenaan telah berjaya menarik lebih 60 pasangan antaranya dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.