Sindiket tonto tumpas, 16 suspek ditahan di bawah POCA
Mariah Ahmad
Mei 3, 2016 15:34 MYT
Mei 3, 2016 15:34 MYT
Pasukan Tindakan Khas (PTK) Jabaran Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Unit Kongsi Gelap (D7) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas 16 orang yang disyaki tonto dalam Operasi Cantas Khas Tonto pada 26 April lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata mereka yang ditangkap dikenal pasti sebagai dalang dan ketua sindiket terancang kepada tonto.
"Sindiket tonto ini melindungi dan memberi maklumat kepada pengusaha lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan atau membawa muatan berbahaya daripada ditahan agensi penguat kuasa.
"Operasi ini juga dilakukan bagi membanteras kesalahan jenayah yang memberi ancaman kepada nyawa anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas penguatkuasaan serta mengakibatkan kerosakan harta benda awam," katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan, di sini.
Liow berkata berdasarkan laporan dan siasatan, sindiket tonto ini telah melakukan pelbagai jenayah berat, termasuk merosakkan kenderaan awam, membuli, menyerang, serta cubaan memberi suapan kepada anggota yang menjalankan tugas penguatkuasaan.
Kesemua mereka yang ditahan akan didakwa di bawah Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Tambahnya lagi, kerajaan menanggung kerugian RM12 juta setahun berikutan jenayah dilakukan sindiket tonto itu.
"Kerugian yang ditanggung kerajaan melibatkan ketirisan hasil cukai negara dan kerugian bagi pembangunan semula kerosakan harta benda awam.
"Selain itu, 2,000 lori di sekitar Lembah Klang melakukan kesalahan membawa lebih muatan, tidak memiliki cukai jalan yang sah, namun tetap beroperasi kerana dilindungi sindiket tonto."
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya menganggarkan kos membaik pulih kerosakan jalan yang disebabkan kenderaan membawa lebih muatan adalah RM100 juta setahun.