Sindiket sijil digital vaksinasi COVID-19: Pembantu pejabat direman tujuh hari
Bernama
Januari 12, 2022 12:45 MYT
Januari 12, 2022 12:45 MYT
KOTA KINABALU: Seorang pembantu pejabat direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah daripada orang awam bagi tujuan pendaftaran Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 di dalam aplikasi MySejahtera pada Oktober tahun lepas.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Jessica Ombou Kakayun di sini hari ini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam di pejabat SPRM di sini ketika hadir untuk memberi keterangan.
Suspek juga dipercayai memberi rasuah kepada sukarelawan di satu pusat pemberian vaksin sebagai balasan mendaftarkan nama individu yang tidak menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mendapatkan sijil digital berkenaan.
-- BERNAMA