KOTA BHARU: Kawalan ketat pihak berkuasa di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok sejak 1 Dis tahun lepas memaksa sindiket penyeludupan mencari alternatif baharu dengan menjadikan laluan laut sebagai 'jalan tikus' mereka.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata sindiket kini beralih ke perairan Kuala Besar dan beberapa lokasi lain seperti Tak Bai di Thailand berhampiran Pengkalan Kubor, Semerak dan Tok Bali di Pasir Puteh.

Beliau berkata sebelum ini Sungai Golok menjadi laluan utama, namun kawalan ketat pihak berkuasa memaksa mereka mengubah strategi dan cuba menyelinap masuk melalui jalan laut.

"Hasil risikan dan operasi penguatkuasaan, Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan 25 pendatang tanpa izin yang cuba masuk ke negara ini menggunakan laluan itu.

"Kesemuanya berusia lingkungan dua hingga 38 tahun itu dipercayai baru tiba melalui sempadan negara jiran dan ditahan dalam satu operasi di sebuah jeti pendaratan tidak berdaftar di bawah jambatan Kampung Pulau Ular, Pengkalan Kubor, semalam," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya bersama-sama Pasukan Gerakan Am, PPM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan bagi memastikan sindiket tidak berpeluang mengambil kesempatan atas kelonggaran di mana-mana laluan.

-- BERNAMA