Sindiket seludup diesel akibatkan ketirisan RM1.2 juta sehari di Bukit Kayu Hitam

Adie Sufian Zulkefli
Mei 19, 2024 19:55 MYT
Aedy Fadly (depan, kanan) berkata, sepanjang 'Op Khas Tangki' bermula sejak Rabu lalu, pihaknya berjaya menahan 18 kenderaan asing di ICQS Bukit Kayu Hitam, JPJ Sungai Petani dan JPJ Alor Setar.
KUBANG PASU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan kegiatan kenderaan asing yang merompak dan menyeludup keluar diesel subsidi negara melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM1.2 juta sehari.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, kenderaan sindiket ini yang membawa diesel disembunyikan di dalam tangki tambahan, dikesan berulang alik kira-kira lima kali sehari ke Thailand.
"Pergerakan bagi satu perjalanan itu saja boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan sekitar anggaran RM250,000.
"Jika didarab dengan lima kali (perjalanan) ia boleh menyebabkan anggaran hampir RM1.2 juta ketirisan hasil sehari akibat penyeludupan diesel," katanya pada sidang media di Depoh Tahanan Kenderaan Kompleks Imigresen, Kastam Kuarentin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu Aedy Fadly berkata, sepanjang 'Op Khas Tangki' bermula sejak Rabu lalu, pihaknya berjaya menahan 18 kenderaan asing di ICQS Bukit Kayu Hitam, JPJ Sungai Petani dan JPJ Alor Setar.
Beliau berkata, kenderaan itu membabitkan treler, pacuan empat roda, lori, van dan kereta yang disyaki diubah suai untuk tujuan penyeludupan.
"Dalam 'Ops Khas Tangki' kita menfokuskan semua kenderaan asing dari negara Thailand meliputi kenderaan persendirian dan kenderaan Pperdagangan untuk penyeludupan minyak diesel ke negara jiran," ujarnya.
"Menerusi 'Ops Khas Tangki' ini, JPJ sudah memeriksa sebanyak 350 buah kenderaan dan daripada jumlah itu, 18 buah daripadanya sudah diambil tindakan dan 87 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan kerana gagal mematuhi undang-undang dan keselamatan jalan raya yang ditetapkan.
"Kebanyakan kenderaan yang ditahan itu untuk menyeludup minyak diesel ke Thailand dan menggunakan pelbagai modus operandi untuk mengubah suai kenderaan terbabit," katanya.
Aedy Fadly berkata, pihaknya akan bekerjsama dengan pelbagai agensi lain di sempadan termasuk Jabatan Imigresen bagi memantau pergerakan keluar masuk individu setiap hari untuk mengekang aktiviti penyeludupan diesel.
#Bukit Kayu Hitam #sindiket seludup minyak #seludup diesel #JPJ
;