Sindiket seleweng diesel, pindah minyak tengah malam tumpas

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 10, 2023 15:02 MYT
Zaidy (kiri) ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini. - Foto Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Polis berjaya menumpaskan kegiatan kumpulan sindiket penyelewengan diesel yang didalangi ‘Geng Tikus’ serta merampas sebanyak 74,600 liter bahan itu dengan nilai RM162,628 dalam serbuan di empat lokasi di Sungai Petani, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, serbuan jam 1 tengah hari hingga 5.30 petang turut menahan seorang lelaki berusia 49 tahun yang dipercayai dalang.
Beliau berkata, modus operandi terbaharu sindiket ini adalah dengan melakukan penyelewengan diesel ini pada waktu tengah malam ketika stesen minyak telah ditutup.
Katanya, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di kawasan Perindustrian MIEL Bukit Makmur, disusuli dua stesen minyak di Sungai Lalang dan terakhir di sebuah depoh simpanan di sebuah taman perumahan Laguna di Merbok.
Menurut Zaidy, aktiviti pembelian minyak ini dilakukan 24 jam setiap hari dan lori berkenaan akan kembali ke gudang itu untuk memindahkan diesel ke dua buah tangki yang masing-masing berkapasiti 20,000 liter.
"Mereka telah menggunakan lori satu tan yang telah diubah suai di dalamnya, pergi ke stesen minyak, membeli minyak diesel di kawasan tersebut. Apabila telah selesai, dia akan bawa balik ke gudang tempat yang kita buat rampasan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.
Katanya, dalam serbuan itu juga pihaknya turut merampas dua buah lori treler, lapan buah lori bonded, sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda, dua tangki berkapasiti 20,000 liter serta beberapa peralatan menyeleweng minyak di stesen berkenaan.
Jelas beliau, kesemua barangan yang dirampas dan disita keseluruhan dianggarkan bernilai RM459,628.
Serbuan dilakukan 11 pegawai dan sepuluh anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan lapan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah itu turut berjaya menahan 13 individu termasuk tiga warga Myanmar.
Beliau berkata, kesemua mereka berusia antara 35 hingga 49 tahun dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
#seludup diesel #Sungai Petani #Polis Daerah Kuala Muda #sindiket
;