Sindiket Poligami: Sebenarnya ada 'tangan ghaib' jadi akses pernikahan ekspres
Hilmi Malik
Mac 29, 2021 16:33 MYT
Mac 29, 2021 16:33 MYT
"SAYA bukan menuduh tetapi dalam kes ini saya kenal orangnya, siapa isterinya, berapa ramai anaknya, dan di mana mereka tinggal.
"Dalam kes saya ini amat sedih kerana penglibatan pihak tertinggi dalam mahkamah."
Itu luahan seorang 'mangsa' sindiket poligami yang bertahun-tahun memendam perasaan selepas suaminya membuat keputusan untuk memadukannya tiga tahun yang lalu.
Terlalu kecewa dengan keputusan suaminya, individu itu yang ditemui Astro AWANI baru-baru ini, mendedahkan dia hanya mendapat tahu tentang 'aktiviti' suaminya dari perbualan di aplikasi WhatsApp dengan pihak mahkamah berhubung proses 'poligami ekspres' berkenaan.
Astro AWANI terpaksa melindungi identiti individu yang ditemu ramah atas faktor keselamatan.
Umum mengetahui, stigma masyarakat terhadap kehidupan berpoligami bukan lagi satu perkara yang asing, meskipun penjelasan mengenainya telah diperincikan dalam hukum syarak Islam.
Dalam isu poligami, tumpuan utama akan diletakkan ke atas golongan isteri khususnya berkenaan persediaan serta kerelaan mereka untuk berkongsi kasih.
Ramai memahami bahawa berpoligami itu bukan satu kesalahan, bagaimanapun, pokok perkara yang menjadi isunya adalah tentang kewujudan ‘orang dalam’ atau ‘tangan ghaib’ yang telah mencemarkan konteks poligami itu sendiri.
Perkara ini bermula dengan kewujudan ‘sindiket poligami’ apabila proses permohonan poligami dilakukan menerusi saluran yang tidak sepatutnya, sekali gus mencetus perspektif negatif tentang hasrat seseorang individu untuk berpoligami.
Menerusi laporan khas berjudul, Poligami Semudah Membeli Madu ini Astro AWANI telah mendapatkan beberapa mangsa sindiket poligami yang berkongsi kisah tentang bagaimana taktik kotor itu dibuat bagi akses mereka untuk mendapat jalan pintas.
Pemalsuan dokumen seperti tanda tangan, surat-menyurat, serta sijil nikah palsu jelas berlaku malah penglibatan ‘orang dalam’ dilihat menjadi pihak pemudah cara.
Wujud tangan ghaib dalam sindiket poligami
Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pihaknya tidak menafikan salah laku seperti yang dinyatakan itu sememangnya berlaku terutamanya tentang dakwaan campur tangan ‘orang dalam’.
Lebih mengecewakan, ada pihak yang sanggup 'menabur' wang ringgit yang lebih daripada biasa, semata-mata bagi menyegerakan proses pendaftaran nikah sedangkan nilai sebenar tidak menelan belanja yang begitu besar.
Gadai wang ringgit demi nikah ekspres
Secara logik, proses pendaftaran nikah mengambil masa, lebih-lebih lagi melibatkan beberapa dokumen yang perlu dilengkapkan terlebih dahulu. Namun, dengan penglibatan sindiket, yang adakalanya melibatkan 'kos' tertentu, semua itu mampu dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.
Bagi mendapatkan perincian penuh, saksikan laporan khas Poligami: Semudah Membeli Madu yang bakal mengupas sejauh mana perjalanan sindiket ini berlaku dalam negara.
Poligami | Manis madu atau pahit hempedu?
'Poligami Semudah Membeli Madu' akan bersiaran pada Isnin jam 8.30 malam di Saluran 501, www.astroawani.com dan semua platform media sosial Astro AWANI