Sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di Johor tumpas, 13 ditahan
Astro Awani
Julai 3, 2022 13:07 MYT
Julai 3, 2022 13:07 MYT
KOTA TINGGI: Satu sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di Johor berjaya dibongkarkan pihak polis menerusi satu serbuan di sebuah premis transit kegiatan penyeludupan berhampiran sungai Bauk dekat Tanjung Belukor, Kota Tinggi pada Sabtu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan pada jam 11 malam itu turut membawa kepada penahanan 13 individu yang disyaki terlibat dalam sindiket.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri sembilan lelaki warga asing dan empat lelaki tempatan, berumur lingkungan 18 hingga 62 tahun.
Jelas Kamarul, serbuan hasil maklumat dan risikan bersama sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Perisikan Dan Siasatan Khas Bukit Aman itu.
Anggotanya turut membuat rampasan ke atas 138,000 liter minyak diesel, sebuah kapal tangki dan empat buah lori tangki, disamping sebuah kenderaan serta empat unit pam penyedut minyak dan dua buah set generator dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM14.5 juta.
"Beberapa sindiket lagi akan dibongkarkan dan saya berikan amaran kepada sindiket yang masih beroperasi untuk membuat salah dan gangguan terhadap ketenteraman awam dan menghilangkan hasil negara maka kita akan ambil tindakan secara serius,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media yang diadakan di sini pada ahad.
Jelasnya, hasil siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan dihukum mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu katanya, sindiket yang beroperasi sejak sebulan lebih itu aktif mengedar diesel seludup kepada kapal asing untuk dipasarkan kepada industri dan kenderaan yang menggunakan diesel.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.