Sindiket penipuan: Tiga lagi rakyat Malaysia ditahan di Thailand

Bernama
Februari 3, 2018 13:46 MYT
Gambar bertarikh 30 Januari ini menunjukkan seorang rakyat Malaysia yang telah ditahan atas dakwaan terlibat sindiket penipuan menerusi panggilan. - Gambar fail
Polis Thailand menahan tiga rakyat Malaysia termasuk seorang wanita mengandung di bandar pelancongan Hatyai kerana dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan pusat panggilan.
Ketua Polis Imigresen Songkla Mej Jen Jeksada Yaisoon berkata, ketiga-tiga rakyat Malaysia itu dan seorang penduduk tempatan ditahan ketika mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang (ATM) di Hatyai 4 petang semalam (waktu tempatan).
"Mereka bertanggungjawab mengeluarkan wang daripada mesin ATM atas arahan sindiket dan diberikan komisen dua peratus bagi setiap sejumlah wang yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki rakyat Malaysia itu berumur 43 dan 28 tahun manakala wanita sedang mengandung itu berumur 26 tahun berasal dari Ipoh, Perak dan dipercayai baru sahaja bekerja dengan sindiket penipuan terbabit selama dua bulan.
Menurut Jeksada, pihak berkuasa Thailand menemui 17 keping kad ATM bank tempatan dan Malaysia, pelbagai buku bank tempatan, wang tunai, slip pengeluaran wang dan kad pengenalan ketika menahan keempat-empat suspek.
Keempat-empat mereka kini ditahan di Balai Polis Hatyai untuk siasatan lanjut, katanya.
Selasa lepas, seorang rakyat Malaysia berumur 38 tahun ditahan di Bangkok, juga dipercayai bekerja dengan sindiket penipuan pusat panggilan untuk mengeluarkan wang mangsa-mangsa penipuan menerusi mesin ATM.
Menurut polis Thailand, suspek diberikan komisen empat peratus bagi setiap wang yang dikeluarkan daripada mesin ATM dan akan bertindak meninggalkan Thailand dengan segera selepas selesai berbuat demikian.
-- BERNAMA
#Hatyai #penipuan pusat panggilan #polis thailand #rakyat Malaysia #sindiket penipuan #Thailand
;