Sindiket penipuan SMS: Bekas ketua perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi pula direman
Astro Awani
November 18, 2020 13:31 MYT
November 18, 2020 13:31 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi direman selama lima hari bermula Rabu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan sindiket penipuan SMS.
Perintah reman sehingga 22 November depan itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pada pagi Rabu.
Ini menjadikan jumlah penahanan reman berkaitan kes sindiket penipuan SMS adalah seramai 17 orang.
Menurut sumber, suspek perempuan berusia 46 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 11 malam Selasa selepas hadir memberi keterangan.
Dalam pada itu, pada hari yang sama, seramai tiga individu termasuk dua pengarah syarikat dan seorang pegawai syarikat telekomunikasi dibebaskan dengan jaminan.
Difahamkan, mereka yang terlibat dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.
Tambah sumber, nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan ‘content provider' dengan mengenakan bayaran langganan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
#SPRM
#sindiket penipuan SMS
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#Akta SPRM 2009
#syarikat telekomunikasi
#Ketua Khidmat Pelanggan