Sindiket penipuan pekerjaan: Lebih 80 peratus mangsa berbangsa Cina

Umavathi Ramayah
Disember 2, 2024 21:39 MYT
Mohd Shuhaily berkata, kebanyakan mangsa pemerdagangan manusia adalah masih muda, yang berusia antara 20 dan 30 tahun. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Hampir 80 peratus daripada mereka yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan adalah berbangsa Cina.
Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Menurutnya, kebanyakan mereka adalah masih muda, yang berusia antara 20 dan 30 tahun.
"Pasaran kerja yang kompetitif dan keinginan mencari peluang pendapatan lumayan sering menjadi tarikan utama bagi golongan muda.
"Apa yang ditawarkan sindiket itu meyakinkan serta lebih baik berbanding pasaran pekerjaan di sini," katanya dalam Agenda AWANI di sini pada Isnin.
Mohd Shuhaily menambah, berdasarkan temu bual bersama mangsa, kebanyakan mangsa mencari peluang kewangan awal sebagai langkah persediaan untuk memulakan perniagaan.
"Mereka tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada keluarga. Sebaliknya, mereka mencari platform untuk menjana pendapatan sendiri sebelum memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
"Corak pemikiran ini dilihat jelas dalam kalangan mereka yang baru menamatkan pengajian kolej atau universiti, khususnya dari komuniti Cina.
Beliau memberitahu, bagi golongan itu, peluang kerja yang mudah tetapi menjanjikan pulangan lumayan amat penting dan ia dilihat sebagai langkah strategik untuk mengumpul modal, bukan sahaja demi kelangsungan hidup, malah untuk merancang masa depan yang lebih stabil.
Dalam pada itu, menurut Mohd Shuhaily berdasarkan rakaman percakapan dan siasatan yang dilakukan terhadap mangsa-mangsa yang pulang ke tanah air, polis berjaya menumpaskan lima sindiket yang merekrut serta mengatur perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara untuk bekerja sebagai scammer sejak 2022 hinga 31 Oktober lalu.
Dalam tempoh itu katanya, polis berjaya menyelamatkan 463 individu.
"Berdasarkan keterangan mangsa, kita mendapati lebih 70 peratus rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia sebenarnya bukanlah mangsa sebenar. Sebaliknya mereka tahu apa pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka," ujarnya.
Justeru kata beliau, untuk mendapat perincian mengenai sindiket penipuan itu, pihaknya berdepan dengan cabaran.
"Misalnya, bila kita berjaya selamatkan mereka, dan apabila disoal siasat, kita melihat jawapan mereka seolah-olah telah diberi satu skrip jawapan yang standard.
"Itu yang membuatkan kami sukar untuk merungkai sindiket itu yang melibatkan rentas sempadan termasuk untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab untuk merekrut dan sebagainya," tambah beliau.
#pemerdagangan manusia #Mohd Shuhaily Mohd Zain #Cina #sindiket
;