Sindiket penipuan pekerjaan: 'Jangan terperdaya tawaran gaji tinggi, kami sengsara 4 bulan' - Mangsa

Fareez Azman
Februari 19, 2023 18:18 MYT
Abd Jalil menyambut kepulangan mangsa sindiket penipuan pekerjaan di KLIA pada Ahad. - Gambar/ Astro AWANI
SEPANG: Orang ramai terutama golongan muda diingatkan supaya berhati-hati dengan tawaran gaji lumayan oleh agensi pekerjaan luar negara bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.
Seorang mangsa, lelaki berusia awal 20-an yang enggan namanya disiarkan berkata, dia sendiri melakukan kesilapan apabila terperdaya dengan tawaran gaji yang tinggi untuk bekerja di Thailand hujung tahun lalu.
Namun katanya semua itu hanya umpan semata-mata, apabila dia dipaksa bekerja di pusat panggilan satu sindiket penipuan apabila tiba di negara berkenaan.
"Saya nasihat kepada semua... nak bagi satu pesanan kepada kawan-kawan di luar sana, jangan terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar sana dengan tawaran gaji yang tinggi.
"Sebab pekerjaan macam itu bukan betul, fikir 10 kali sebelum buat keputusan terima tawaran pekerjaan. Kami sengsara dekat sana... dekat empat bulan lebih," katanya.
Menceritakan lanjut, lelaki itu berkata, dia dilayan dengan sangat teruk termasuk didenda oleh sindiket, antaranya tidak diberi makan sekiranya gagal mencapai 'sasaran kerja' ditetapkan.
"Kami sentiasa kena ragging kalau tidak dapat buat pekerjaaan (buat panggilan tipu mangsa). Ada KPI tertentu ditetapkan.
"Makan dia (sindiket) bagi... bergantung kepada mereka... kadang-kadang tak bagi makan. Dia bercakap bahasa Melayu, ada translator di sana," katanya lagi dalam sesi soal jawab ringkas bersama media.
Dia antara lima rakyat Malaysia yang berjaya dibawa pulang dari Thailand oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar (KLN) pada Ahad.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, dalam sidang media bersama KLN mengenai kepulangan mangsa sindiket penipuan pekerjaan di KLIA pada Ahad berkata, selain lima mangsa itu, 14 lagi rakyat Malaysia dipercayai masih terkandas di Thailand.
Kesemua mereka dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di negara itu.
#sindiket penipuan pekerjaan #kisah mangsa #Thailand #scammer
;