Sindiket penipuan antarabangsa: Dua warga UK dipenjara, denda

Sinar Harian
Mac 16, 2023 16:01 MYT
Dua warga UK, Andrew Mark Peters (berkerusi roda) dan Darren Anthony Mcnicholas diiringi oleh snggota SPRM) untuk didakwa berhubung Op Tropicana di Mahkamah Shah Alam. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Dua warga United Kingdom (UK) termasuk salah seorangnya merupakan orang kurang upaya (OKU) yang terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian antarabangsa dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dan denda keseluruhan RM320,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman tersebut kepada Andrew Mark Peters, 55, yang kudung kaki kanan dan berkerusi roda serta Darren Anthony Mcnicholas, 51, selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan terbabit.
Andrew dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda sebanyak RM80,000 bagi pertuduhan pertama serta penjara enam bulan dan denda RM100,000 bagi kesalahan kedua.
Darren pula dikenakan penjara enam bulan dan denda RM60,000 untuk pertuduhan pertama serta penjara enam bulan dan denda RM80,000 bagi kesalahan kedua.
Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu berjalan secara serentak iaitu selama enam bulan bermula daripada tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap pada 21 Februari lalu.
Andrew dan Darren juga berdepan hukuman penjara tambahan masing-masing selama 22 dan 16 bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Andrew didakwa menjadi dalang sindiket penipuan antarabangsa dengan bersubahat dan mengarahkan rakannya, Darren menipu seorang warganegara Scotland dengan memperdaya mangsa menyerahkan sejumlah wang berjumlah AS$5,672.41 (RM26,000) ke dalam satu akaun OCBC Bank (M) Bhd kononnya untuk pelaburan jangka masa singkat dengan pembelian saham di sebuah syarikat dikenali sebagai Novocure Limited yang tidak wujud.
Lelaki itu turut didakwa mengarahkan Darren menipu mangsa sama untuk menyerahkan sejumlah Euro 121,200 (RM580,000) ke dalam satu akaun CIMB Bank (M) Bhd kononnya untuk pelaburan jangka masa singkat dengan pembelian saham di sebuah syarikat dikenali sebagai Premier Transfer Ltd yang tidak wujud.
Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing pada pada 21 Mei dan 27 Jun 2019 di pejabat operasi sindiket itu di Menara Mitraland, Petaling Jaya.
Darren pula didapati bersalah melakukan kedua-kedua kesalahan itu pada tempat dan tarikh yang sama.
Oleh itu, Andrew bersalah mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama sementara Darren bersalah di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Fahmi Abd Moin.
Pada prosiding itu, Ahmad Akram memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kes penipuan dalam talian bukan sahaja kerap berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
Malah, Ahmad Akram berkata, sindiket penipuan antarabangsa yang melibatkan kedua-dua tertuduh mula aktif di Lembah Klang sejak 2015 lagi.
Ia juga sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh untuk tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akang datang.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM membongkar sindiket penipuan pelaburan didalangi warga UK yang berjaya mengaut keuntungan kira-kira RM200 juta dengan memperdaya mangsa daripada golongan profesional.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebanyak 24 premis termasuk kediaman mewah 'mastermind' dan tiga pusat panggilan atau 'boiler room' scammer itu diserbu dalam operasi serentak dinamakan Op Tropicana pada 21 Februari lalu.
Operasi besar-besaran terhadap sindiket yang menawarkan pelaburan yang tidak wujud itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Bhd dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. -- Sinar Harian
#Sindiket penipuan dalam talian #warga United Kingdom #hukuman penjara #Andrew Mark Peters #Darren Anthony Mcnicholas
;