Sindiket pengedaran dadah antarabangsa didalangi Datuk dan Datin tumpas
Siti Nur Aqilla Omar
April 11, 2021 13:02 MYT
April 11, 2021 13:02 MYT
BATU PAHAT: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi pasangan suami isteri bergelar Datuk dan Datin, yang berselindung di sebalik kenderaan mewah bagi penghantaran dadah, tumpas.
Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, pasangan itu ditahan bersama tujuh ahli sindiket dalam enam serbuan di sekitar Johor dan Selangor pada 7 dan 8 April lalu.
Katanya hasil serbuan itu turut merampas dadah jenis syabu seberat 12.24 kilogram, pil ekstasi (6.61 kg) dan ketamin (420 gram) yang bernilai RM868,000.
"Daripada hasil maklumat risikan, sindiket ini mula aktif pada September tahun lalu. Dulu sindiket ini pernah aktif tahun 2006 tapi mereka berhenti seketika, sebelum aktif semula akhir-akhir ini.
"Markas sindiket ini di Selangor. Dadah dibawa dari Selangor untuk diseludup di Indonesia. Sindiket ini tidak mempunyai markas di Johor tetapi ada 'orang-orang' pengantara yang boleh menguruskan penghantaran dadah menerusi perairan Batu Pahat ke Indonesia.
"Modus operandi, mereka membawa dadah dengan menggunakan kenderaan mewah. Baru-baru ini jenis Porsche dan kalau kita lihat sejak akhir-akhir mereka akan guna kenderaan mewah untuk pasaran antarabangsa. Sebelum ini mereka guna Mustang untuk hantar dadah ke Kelantan dari Kuala Lumpur
"Mereka guna kenderaan mewah kerana kelajuan dan tidak akan bawa dadah dalam jumlah banyak. Selalunya kalau kenderaan mewah ini orang tidak akan syak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Batu Pahat di sini, hari ini.
Turut dirampas empat kenderaan jenis Volkswagen Passat, Mercedes Benz dan Perodua Alza, wang tunai RM59,809 dan barangan kemas.
Nilai sitaan keseluruhan termasuk dadah dianggarkan berjumlah RM1.39 juta.
Jelas Zainudin lagi, Datuk terbabit tidak aktif dalam badan kebajikan tetapi pernah dipenjarakan lima tahun pada 2006 berkaitan kes dadah.
"Sembilan ahli yang ditahan berusia 22 hingga 59 tahun itu, empat daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau. Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 14 April.
'Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Mengikut risikan, tujuh ahli sindiket mereka yang lain pernah ditahan penguatkuasa Taiwan pada 19 Mac lalu, ketika membawa dadah ketamin seberat 281 kilogram dari India ke negara ini yang bernilai RM15 juta," katanya.
#sindiket dadah
#didalangi Datuk dan Datin
#Batu Pahat
#Bukit Aman
#Timbalan Pengarah Narkotik
#Zainudin Ahmad
#polis
#jenayah
#Dadah
#sindiket
#Seludup dadah
#Syabu
#Indonesia