Sindiket pemerdagangan manusia: Polis rakam keterangan ahli politik, suami

Sinar Harian
Ogos 29, 2024 14:00 MYT
Razarudin (kanan) semasa sidang akhbar di IPK Kelantan pada Khamis. - Gambar/ Sinar Harian
KOTA BHARU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya sudah merakam keterangan seorang ahli politik dan suaminya yang didakwa berkait dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Ringkasan AI
  • Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan pihak polis telah mengambil keterangan seorang ahli politik dan suaminya yang didakwa terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
  • Siasatan terhadap kes ini masih berjalan, dan polis sedang berusaha mendapatkan sumber artikel dari Myanmar serta mencari saksi untuk membantu siasatan.
  • Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa SPRM menyiasat dakwaan penglibatan ahli politik dalam sindiket yang memperdaya mangsa secara dalam talian untuk bekerja sebagai 'scammer' judi.

Menurut beliau, keterangan pasangan suami isteri itu diambil pada Julai lalu selepas artikel pertama berhubung kes terbabit dilaporkan.
"Kita sudah menjalankan siasatan. Buat masa ini ia masih diteruskan. Kita juga akan mendapatkan artikel yang dikeluarkan oleh negara berkenaan (Myanmar)," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara wajib pada 31 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Razarudin memberitahu, pihaknya juga akan mencari saksi bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.
Media semalam melaporkan, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai `scammer' penipuan judi secara dalam talian. - Sinar Harian
#sindiket pemerdagangan manusia #ahli politik #Myanmar #PDRM
;