Sindiket pemalsuan cop keselamatan Jabatan Imigresen tumpas

Bernama
Julai 19, 2019 22:46 MYT
Khairul Dzaimee (dua kiri) bercakap pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket pemalsuan cop Imigresen dan pusat pelacuran di JIM hari ini. --fotoBERNAMA
Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pemalsuan cop keselamatan jabatan itu susulan penangkapan lima warga Vietnam dalam satu operasi di ibu negara, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata dua lelaki dan tiga wanita yang dipercayai dalang utama itu ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Beliau berkata sindiket yang beroperasi sejak tiga bulan lepas itu tertumpu di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan menjadikan warga Vietnam yang mempunyai masalah untuk pulang ke negara asal atas faktor tinggal lebih masa sebagai sasaran utama.
"Pasukan juga berdepan detik cemas apabila seorang daripada mereka bertindak ganas dengan mengugut untuk mencederakan anggota menggunakan pisau pemotong daging.
"Suspek juga cuba menghapuskan bukti dengan mencampakkan kesemua cop imigresen palsu serta beberapa pasport yang dimasukkan ke dalam patung beruang panda ke bawah dari tingkat 13 kondominium berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Khairul Dzaimee berkata siasatan lanjut turut membawa kepada penemuan lapan cop keselamatan keluar masuk Jabatan Imigresen yang dipalsukan, satu unit komputer riba, 61 pasport milik warganegara Vietnam serta sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza.
Kesemua suspek ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan suatu pas atau 'endorsement', Seksyen 56(1)(l) akta sama, katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata 31 warga asing dan tiga rakyat tempatan ditahan kerana menjalankan aktiviti pelacuran melibatkan wanita warga asing dalam Ops Gegar di sebuah premis di Sungai Besi, Rabu lepas.
Katanya mereka yang ditahan meliputi 15 orang warga Indonesia, lapan Thailand dan empat Vietnam dengan siasatan awal mendapati mereka mengenakan bayaran bermula RM190 bagi perkhidmatan seks.
Selain itu, turut ditahan ialah empat lelaki Bangladesh dan tiga lelaki tempatan yang bekerja di premis tersebut, katanya.
-- BERNAMA
#aktiviti pelacuran #Bangladesh #Indonesia #keselamatan #Khairul Dzaimee Daud #kondominium #operasi #Ops Gegar #patung beruang panda #pisau pemotong daging #serbuan #Sungai Besi #suspek #Thailand #tinggal lebih masa #wanita #warga asing #warga Vietnam
;