Sindiket pelacuran guna aplikasi Wechat diserbu polis
Astro Awani
Februari 8, 2019 12:28 MYT
Februari 8, 2019 12:28 MYT
Aplikasi Wechat kini digunakan sindiket pelacuran untuk meraih pelanggan yang dahagakan aktiviti seksual.
Malah, sindiket itu menggunakan hotel bajet untuk melindungi kegiatan haram mereka.
Lebih mengejutkan apabila 10 buah bilik hotel bajet itu sengaja disewa khas oleh sindiket terbabit bagi meletakkan wanita warga asing untuk melayan pelanggan.
Bagaimanapun, kegiatan pelacuran terbabit berjaya dihidu pihak berkuasa meneruskan serbuan dari bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor malam Khamis.
Menurut Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, modus operasi sindiket itu ialah pelanggan boleh memilih wanita asing terbabit menggunakan aplikasi Wechat dan membuat temu janji di hotel yang ditetapkan.
"Sindiket ini akan mengiklankan aktiviti mereka melalui laman sesawang melalui Wechat. Pelanggan akan membuat pilihan dan tawar-menawar sebelum gambar wanita warga asing itu dikongsi.
"Bayaran yang dikenakan juga antara RM180 hingga RM300 bagi setiap langganan," katanya.
Tambah Mohd Khaizam, ketika serbuan dijalankan ada antara pekerja seks berkenaan sedang melayan pelanggan selain pemeriksaan di bilik hotel bajet itu menemui beberapa kondom dan beberapa alat seks.
Susulan serbuan itu, kata beliau, pihaknya menahan lapan wanita warga Vietnam dan Indonesia manakala seorang lelaki dan wanita warga asing yang dipercayai pekerja selain tiga pelanggan turut ditahan.
Siasatan mendapati, sindiket ini aktif melakukan kegiatan pelacuran sejak tiga bulan lalu dan kesemua tangkapan di bawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang.
#Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin
#hotel
#hotel bajet
#Indonesia
#pelacuran
#polis
#seks
#siasatan
#sindiket
#Vietnam
#wanita
#warga asing