Sindiket pelacuran aplikasi WeChat tumpas
Nur Fazlizai Ali
Oktober 26, 2017 18:25 MYT
Oktober 26, 2017 18:25 MYT
Sindiket pelacuran kini dilihat mengubah taktik haram mereka apabila menggunakan aplikasi WeChat untuk menjerat pelanggan tempatan di daerah ini dengan memperdagangkan gadis warga Vietnam.
Kegiatan pelacuran dengan bayaran RM160 hingga RM200 bagi setiap layanan yang bergerak dari satu bandar raya ke bandar raya lain itu didalangi sekumpulan lelaki yang dipercayai berperanan selaku bapa ayam.
Selain menjalankan aktiviti secara mobile, sindiket itu akan berada di sesuatu lokasi dalam tempoh seminggu hingga dua minggu sebelum meneruskan misi ke lokasi lain.
Namun, kegiatan tidak bermoral itu dihidu dan ditumpaskan pasukan polis apabila berjaya menahan tiga lelaki berusia 19 hingga 38 tahun menerusi operasi Op Noda di sekitar bandar raya ini pada Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, menerusi operasi itu, seorang wanita warga Vietnam diselamatkan dari terus menjadi hamba sindiket pelacuran tersebut.
"Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam di sebuah hotel sekitar Kuala Terengganu, pasukan polis turut merampas beberapa barangan seperti kenderaan, peralatan seks dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan sindiket pelacuran berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambah Fazilsyam, siasatan awal mendapati modus operasi sindiket itu adalah melakukan penawaran perkhidmatan seks menerusi enam akaun WeChat bagi mencari pelanggan.
Bagaimanapun katanya, sindiket itu akan berada di lokasi dalam tempoh seminggu hingga dua minggu sebelum bergerak ke lokasi yang lain dan percaya kumpulan tersebut baru beberapa hari berada di Terengganu.
"Siasatan juga mendapati wanita yang berusia 18 tahun itu diperdaya dengan menawarkan kerja sebelum terjerumus dalam kegiatan tersebut.
"Hasil siasatan juga mendapati kumpulan itu turut melakukan kegiatan sama di Kedah dan Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Terengganu," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrain (ATIPSOM) 2007.
#Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrain
#aplikasi WeChat
#Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid
#ATIPSOM 2007
#Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu
#Kuala Terengganu
#mobile
#op noda
#PDRM
#pelacuran
#polis
#sindiket pelacuran