Sindiket pelaburan tidak wujud tumpas, enam keldai akaun ditahan

Bernama
Julai 23, 2024 09:30 MYT
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata tiga lelaki dan tiga wanita berusia 31 hingga 54 tahun itu ditahan dalam serbuan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pahang dan Johor.
KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pelaburan tidak wujud yang giat mencari mangsa menerusi pengiklanan di Facebook, Mac tahun ini dengan penahanan enam individu dalam beberapa serbuan pada 15 Julai lepas.

Ringkasan AI
  • Polis berjaya menumpaskan sindiket pelaburan tidak wujud yang beroperasi melalui Facebook dengan menahan enam individu dalam serbuan pada 15 Julai lepas, membekukan 15 akaun bank bernilai RM474,395.
  • Sindiket ini menawarkan keuntungan hingga 400 peratus daripada pelaburan, tetapi mengenakan bayaran tambahan kepada pelabur ketika mereka cuba mengeluarkan keuntungan, menyebabkan kerugian lebih RM21 juta daripada 48 laporan polis.
  • Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, menasihatkan agar tawaran pelaburan melalui media sosial dianggap sebagai penipuan, dengan penipuan pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian tertinggi dalam penipuan dalam talian, mencapai lebih RM472 juta pada tahun 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata tiga lelaki dan tiga wanita berusia 31 hingga 54 tahun itu ditahan dalam serbuan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pahang dan Johor.
"Mereka disyaki pemilik dan setiausaha syarikat yang digunakan sebagai 'keldai akaun' oleh sindiket pelaburan berkenaan. Sebanyak 15 akaun bank berkaitan sindiket terbabit dengan nilai RM474,395 telah dibekukan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata sindiket itu menawarkan keuntungan hingga 400 peratus daripada jumlah wang yang dilaburkan.
Ramli berkata selepas mangsa membuat pelaburan, pihak sindiket akan memaklumkan mereka telah memperoleh keuntungan namun apabila hendak melakukan pengeluaran, mereka dikenakan pelbagai bayaran tambahan membuatkan pelabur berasa ditipu.
"Sebanyak 48 laporan polis telah dibuat dengan kerugian berjumlah lebih RM21 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.
Ramli turut memaklumkan bahawa sebarang bentuk tawaran pelaburan melalui platform media sosial perlu dianggap sebagai penipuan.
Beliau berkata mana-mana ketua pegawai eksekutif institusi pelaburan yang 'tidak senang' dengan kenyataan itu diminta tampil mengesahkan pelaburan mereka menerusi media sosial.
Penipuan pelaburan tidak wujud, katanya merupakan antara kategori jenayah penipuan dalam talian yang mencatatkan kerugian tertinggi.
"Pada 2023, sejumlah 5,386 kes penipuan pelaburan telah dicatatkan dengan nilai kerugian lebih RM472 juta. Nilai kerugian ini adalah bersamaan 38.7 peratus berbanding keseluruhan nilai kerugian bagi kes penipuan dalam talian yang dicatatkan pada tahun itu," katanya.
Ramli berkata trend yang sama dapat dilihat pada tahun ini apabila setakat Jun lepas sejumlah 2,699 kes telah dilaporkan dengan kerugian lebih RM345 juta atau 45.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian akibat penipuan dalam talian.
-- BERNAMA
#keldai akaun #sindiket pelaburan #Facebook #Bukit Aman