Sindiket minyak masak subsidi tumpas, 15 ditahan di Selangor
Amirul Aiman
November 14, 2024 12:40 MYT
November 14, 2024 12:40 MYT
PUTRAJAYA : Satu sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi di Selangor berjaya ditumpaskan dalam operasi yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sejumlah 14,340 kilogram minyak masak bersubsidi disita, ditemui tersimpan dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dalam serbuan tersebut.
“Pada 12 November, melalui serbuan di dua premis, pertamanya di Taman Kajang Jaya yang melibatkan kediaman dan satu lagi premis perniagaan di Bandar Rinching
“Serbuan ini bermula dengan aduan daripada awam yang telah membantu bahagian penguatkuasa melaksanakan risikan dan disusuli dengan serbuan,” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Khamis.
Menurut Armizan, sindiket ini dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.
Katanya, modus operandi sindiket ialah mengumpul minyak masak bersubsidi yang sepatutnya untuk kegunaan domestik serta peniaga kecil, kemudian memotong paket dan menyimpan minyak tersebut di tangki besar sebelum menjualnya sebagai minyak terpakai.
Tambah beliau, seramai 15 individu telah ditahan, termasuk 11 warga asing dan 4 rakyat tempatan berumur antara 25 hingga 45 tahun dalam operasi ini.
Katanya lagi, Mahkamah Majistret Kajang telah meluluskan permohonan tahanan reman selama empat hari sehingga 16 November bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.