Sindiket menyamar polis, ugut dan tipu waris banduan tumpas

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 18, 2021 21:31 MYT
Suspek pertama mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut manakala suspek lain adalah 'keldai akaun' yang menerima upah RM3,000 hingga RM10,000.
BAYAN LEPAS: Polis menumpaskan sindiket pemerasan dan penipuan yang menjadikan waris serta isteri banduan atau tertuduh kes mahkamah sebagai sasaran untuk meminta sejumlah wang kononnya untuk melepaskan mereka.
Kegiatan sindiket terbabit terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang suri rumah yang mendakwa kerugian RM100,000 akibat diperdaya sindiket terbabit pada 23 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, susulan laporan itu, polis berjaya menahan suspek utama berusia 43 tahun bersama lapan lagi ahli sindiket dalam enam serbuan berasingan di Perak dan Selangor pada 12 hingga 14 Mac lalu.
"Sindiket ini menggunakan modus operandi membuat panggilan telefon ke mana-mana penjara dengan menyamar sebagai inspektor polis untuk mendapatkan maklumat waris kepada banduan atau orang kena tuduh (OKT).
"Suspek juga akan menggunakan beberapa taktik penipuan dan penyamaran termasuk melayari Internet yang memaparkan kejayaan tangkapan jenayah bagi mendapatkan maklumat mengenai kes, khususnya kesalahan berkait dadah atau pistol," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut Anbalagan, mangsa sebelum ini membuat laporan mendakwa didatangi dua penjawat awam menaiki kenderaan polis ke rumahnya di Bayan Lepas pada 23 Februari lalu bagi memaklumkan tentang panggilan daripada seorang lelaki bergelar ‘Inspektor Firdaus’.
Mangsa kemudian menghubungi semula 'pegawai' terbabit dan bertanyakan tentang suaminya yang ditahan di Lokap Berpusat Bayan Baru atas kesalahan dadah pada Februari lalu.
"Mangsa kemudian diminta memasukkan wang RM200,000 bagi membebaskan OKT dengan janji dia tidak dikenakan tindakan undang-undang.
“Sebaik pengadu memasukkan RM80,000 dan RM20,000 melalui dua nombor akaun yang diberi suspek, lelaki itu terus menghilangkan diri dan gagal dihubungi,” jelas Anbalagan.
Katanya lagi, soal siasat ke atas suspek pertama mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut manakala suspek lain adalah 'keldai akaun' yang menerima upah RM3,000 hingga RM10,000.
Katanya, suspek yang mempunyai 33 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah, dadah dan komersial juga mengaku terlibat dengan beberapa kes sama di Pulau Pinang, Melaka dan Sabah sejak tahun 2016.
Menurutnya lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan), Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu) dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
#sindiket #banduan #jaminan #polis #penipuan #menyamar polis #ugut #tipu #waris banduan #isteri #okt #mahkamah
;