Sindiket memproses kad kredit terbesar berjaya ditumpas
Mariah Ahmad
April 19, 2016 13:33 MYT
April 19, 2016 13:33 MYT
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan sindiket memproses kad kredit palsu terbesar pernah beroperasi di negara ini
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram JSJK, SAC Khalil Azlan Chik berkata, kejayaan itu merupakan hasil beberapa serbuan berasingan yang dijalankan di Lembah Klang dan Ipoh, Perak, bermula Sabtu hingga Isnin lalu.
Menurutnya, dalam Operasi Helang 2/15 ini, polis turut berjaya merampas wang tunai RM163,234 dan 2,371 keping kad kredit Mastercard palsu serta tiga mesin membuat kad kredit.
Katanya, siasatan mendapati bahawa sindiket berkenaan akan menggunakan kad kredit palsu untuk membeli pelbagai barangan berharga di luar negara, sebelum menjualnya semula di negara ini pada harga lebih murah.
Jelas beliau, sindiket tersebut memperoleh bekalan kad kredit palsu dan data dari sindiket antarabangsa, sebelum diserahkan kepada 'keldai' untuk membeli barangan di luar negara seperti di United Kingdom, Perancis, Turki, Jepun, Korea, Singapura, Indonesia dan Vietnam.
"Barangan berjenama seperti Hermes, Louis Vuitton dan Prada akan dibeli oleh 'keldai' berkenaan dan apabila kembali ke Malaysia, barangan tersebut akan diserahkan kepada ketua sindiket dan 'keldai' berkenaan akan diberikan komisyen.
"Barangan berjenama tersebut kemudiannya akan dijual kepada pelanggan pada harga yang lebih murah," tambah beliau dalam satu sidang media di Aras 34, Menara 238, Jalan Tun Razak, di sini.
Khalil berkata, 19 warga tempatan dan seorang lelaki warga Nigeria turut ditahan dalam operasi berkenaan.
Mereka siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 472 Kanun Keseksaan kerana memiliki peralatan untuk melakukan pemalsuan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun serta boleh didenda.