Sindiket Macau Scam 'Geng Lee' tumpas

Adie Sufian Zulkefli
April 29, 2018 05:37 MYT
Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket penipuan 'Macau Scam' yang dikendalikan oleh kumpulan yang diberi gelaran 'Geng Lee'. -Astro AWANI
Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket penipuan 'Macau Scam' yang dikendalikan oleh kumpulan yang diberi gelaran 'Geng Lee'.
Kesemua anggota 'Geng Lee' itu ditahan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah dalam serbuan di sebuah kondomonium di Bandaraya Alor Setar yang dipercayai dijadikan sebagai pusat kegiatan mereka.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Chan Teck Paing, hasil serbuan itu pihaknya menahan tiga lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Taiwan di rumah tersebut.
Manakala seorang lelaki tempatan yang ditahan disyaki terbabit menggunakan 'keldai akaun' untuk menerima wang hasil penipuan.
Ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek sedang dalam proses menghubungi mangsa yang dikesan.
"Dalam panggilan tersebut, mereka menggunakan teknik 'spoofing' di mana nombor talian pada skrin penerima akan terpapar sebagai pihak Bank Negara, pihak polis, mahkamah atau kastam.
"Baru-baru ini, nama Kementerian Kesihatan turut terpapar pada penerima agar mangsa dapat diperdayakan untuk membuat bayaran," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Ahad.
Susulan serbuan, pihak polis percaya warga Taiwan yang berusia antara 20 hingga 26 tahun yang ditahan itu baru sahaja memasuki negara ini.
Siasatan awal mendapati mereka masuk ke negara ini untuk mencari mangsa dengan melakukan penipuan demi mengaut keuntungan.
Empat lelaki tempatan yang ditahan berusia antara 23 hingga 37 tahun pula bertindak sebagai call centre untuk meneruskan sindiket penipuan ini.
Tambah Chan, hasil serbuan pihaknya merampas dua unit komputer riba, dua unit komputer iPad, sembilan unit telefon, 20 unit kad sim dan tujuh keping kad mesin juruwang automatik (ATM) dengan nilai keseluruhan hampir RM10,000.
Selain itu turut dirampas wang tunai bernilai RM4,084.
Kes disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.
#Alor Setar #Geng Lee #Kedah #Macau Scam #Taiwan
;