Sindiket lebur tembaga: Lapan lelaki ditahan, nilai rampasan lebih RM3.5 juta

Nurul Izzatull Hani Seman
Mei 31, 2021 12:14 MYT
Serbuan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 pagi Ahad dalam sebuah kebun kelapa sawit di Jalan PTD 1314 Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Satu sindiket melebur tembaga secara haram telah ditumpaskan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dengan mencatatkan hasil rampasan barangan bernilai lebih RM3.5 juta, pada pagi Ahad.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, menerusi Op Benteng itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 44 tahun bersama empat lelaki warga China dan seorang lelaki warga Bangladesh berumur lingkungan 30 hingga 66 tahun ditahan.
“Serbuan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 pagi semalam dalam sebuah kebun kelapa sawit di Jalan PTD 1314 Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam.
“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek ditahan menjalankan aktiviti melebur tembaga campuran secara salah dan dipercayai sudah beroperasi selama satu tahun lebih," katanya.
Antara barangan yang dirampas termasuk lebih 40 guni berisi tembaga campuran, 13 jongkong tembaga dengan anggaran berat setiap jongkong 450 kilogram dan 67 guni berisi arang batu.
“Turut dirampas dua buah jentera forklift, tiga mesin generator, tiga mesin relau, enam mesin penyedut angin, dua mesin penyedut air, sebuah mesin kimpal dan satu penimbang untuk memproses," kata Dimin.
Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM3,500,750. Tangkapan dan rampasan seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan ini sekali gus telah berjaya melumpuhkan sindiket melebur tembaga secara salah di kawasan Simpang Renggam dan Pontian.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 6 Akta Barang Lusuh (ABL) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai akan terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah barangan kontraban serta kemasukan warga asing tanpa izin di negeri ini kepada pihak berkuasa.
#warga asing #Imigresen #Akta Imigresen #Bangladesh #China #sindiket #haram #kelapa sawit #lebur tembaga
;