Sindiket laman web lucah China jadikan Malaysia pusat operasi tumpas
Sinar Harian
Jun 10, 2024 14:50 MYT
Jun 10, 2024 14:50 MYT
KUALA LUMPUR: Sindiket laman sesawang lucah yang menjadikan negara ini sebagai pusat operasi terbongkar susulan tangkapan empat individu warga China menerusi serbuan di dua kediaman elit, dekat Jalan Tun Razak, pada 5 Jun lalu.
Ringkasan AI
- Sindiket laman sesawang lucah tumpas selepas serbuan di dua kediaman elit di Jalan Tun Razak pada 5 Jun lalu. Empat individu warga China, termasuk tiga lelaki dan seorang wanita, berusia antara 28 hingga 42 tahun, telah ditahan.
- Serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selepas menerima maklumat mengenai kegiatan pusat panggilan penipuan dalam talian di lokasi tersebut.
- Pelbagai peralatan seperti komputer riba, telefon bimbit, passport, dan wang tunai telah dirampas. Siasatan awal mendapati kediaman terbabit digunakan untuk mempromosikan, memiliki, dan menguruskan laman web lucah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
"Operasi dijalankan kira-kira jam 2.45 petang itu berjaya memberkas tiga lelaki dan seorang wanita warga China berumur berumur antara 28 hingga 42 tahun.
"Serbuan dijalankan susulan maklumat diterima berkaitan kegiatan pusat panggilan penipuan dalam talian di lokasi berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, di sini pada Isnin.
Katanya, turut dirampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.
"Antara rampasan dilakukan melibatkan enam komputer riba, 18 telefon bimbit, empat passport, wang tunai berjumlah RM3,901 dan pelbagai barangan lain," katanya.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kediaman terbabit dijadikan sebagai lokasi mempromosikan, memiliki dan menguruskan laman web berkenaan.
"Siasatan setakat ini mendapati mereka tidak menghasilkan video lucah di negara ini sebaliknya hanya berperanan sebagai 'administrator'.
"Selain itu, siasatan lanjut mendapati sindiket terbabit baru saja beroperasi di negara ini," katanya.
Menurutnya, kesemua suspek direman 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian