Sindiket ketum diketuai bekas penjawat awam tumpas
Astro Awani
Disember 27, 2021 14:35 MYT
Disember 27, 2021 14:35 MYT
JOHOR BAHRU: Sindiket pemprosesan ketum yang diketuai bekas penjawat awam lebih empat tahun lalu, tumpas dalam tiga serbuan berasingan.
Serbuan pada 22 Disember dan malam tadi, di sekitar Kulai dan Johor Bahru turut menahan 12 yang lain termasuk lapan penjawat awam.
Pihak polis masih menyiasat sama ada lapan penjawat awam lelaki berumur antara 25 hingga 39 tahun itu bersekongkol dengan sindiket terbabit, atau sebagai pengguna ketum.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pembongkaran sindiket itu hasil susulan penangkapan lelaki berumur 42 tahun positif methamphetamin yang juga penghantar daun ketum seberat 700 kilogram dari utara ke selatan, dalam Op Bersepadu di Simpang Renggam pada 21 Disember lalu.
Susulan itu, katanya dua serbuan dilakukan dan menahan empat suspek termasuk ketua sindiket, dua pekerja serta seorang wanita iaitu isteri kepada ketua sindiket yang bertindak sebagai akauntan.
"Modus operandi sindiket ini adalah menyewa kilang untuk dijadikan tempat membungkus dan memproses ketum. Bekalan ketum diperoleh daripada pembekal utara tanah air, dengan menggunakan lori buah dari utara ke selatan.
"Kegiatan mereka menjadi popular sejak kebelakangan ini ekoran harga pasaran ketum dan permintaan yang meningkat. Harga semasa bagi daun ketum adalah RM35 hingga RM80 sekilogram, manakala botol 1.5 liter dijual pada harga RM13 hingga RM25,” ujar Ayob Khan.
Jelas beliau lagi, ketua sindiket berusia 35 tahun yang berkhidmat sebagai penjawat awam pada tahun 2011 itu telah diberhentikan pada 2014. Suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau.
Sindiket ini memperoleh keuntungan hasil jualan air dan daun ketum sehingga RM200,000 sebulan.
Malah pekerja memasak daun ketum menerima gaji antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.
Sindiket ini menjadikan kilang di Kempas sebagai tempat proses ketum dengan kadar sewa bulanan RM1,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.