Sindiket kenakan RM30,000 bagi setiap etnik Rohingya masuk ke Malaysia - Polis

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 15, 2021 21:11 MYT
Polis mendapati sindiket itu turut menawarkan penyediaan dokumen palsu seperti kad UNHCR dan dokumen perkahwinan untuk pasangan yang ingin berkahwin di negara ini. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Setiap etnik Rohingya yang ingin masuk ke negara ini dipercayai dikenakan bayaran sehingga RM30,000 oleh sindiket penyeludupan migran.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata perkara itu dibongkar selepas pihaknya menahan 14 orang terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita Rohingya berusia antara 18 hingga 50 tahun di sekitar daerah Kota setar, Jumaat lalu.
"Mereka yang diseludup ke sini terpaksa membayar kepada sindiket RM30,000 seorang... jadi kalau satu keluarga empat orang sudah RM120,000.
"Jadi, mereka yang nak datang ke Malaysia perlu usaha cari duit sendiri minta kepada keluarga, pinjam dan sebagainya.
"Dengan bayaran sebanyak itu, ia menjadi kegiatan yang memberi pulangan lumayan kepada sindiket," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, sindiket itu turut menawarkan penyediaan dokumen palsu seperti kad UNHCR dan dokumen perkahwinan untuk pasangan yang ingin berkahwin di negara ini.
Jelasnya, sindiket berkenaan dipercayai telah mengaut keuntungan lebih RM1 juta sejak aktif di utara tanah air sejak Januari tahun ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A dan Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu penyeludupan manusia dan memiliki atau membuat dokumen palsu serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh hingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya.
#Rohingya #Polis Kedah #sindiket penyeludupan migran #Bayaran Mahal #hutang #Op Pintas #Kamarul Zaman Mamat
;