Sindiket judi online di Setia Alam simpan parang takut premis dirompak

Astro Awani
Januari 18, 2020 07:01 MYT
Kegiatan sindiket itu dibongkar di sebuah premis kedai di Setia Perdana, Setia Alam hasil intipan ke atas dua wanita yang dilihat keluar dari premis berkenaan. - Astro AWANI
Tatkala asyik ligat bertaruh, empat lelaki termasuk tiga warga Indonesia dicekup polis.
Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah D-7 Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menerusi Ops Dadu malam tadi.
Bukan setakat menjalankan judi atas talian secara haram, malah pemilik premis ini turut menyimpan lapan bilah parang, kononnya langkah berjaga-jaga kerana bimbang premis dirompak.
Kegiatan itu dibongkar di sebuah premis kedai di Setia Perdana, Setia Alam, hasil intipan ke atas dua wanita yang dilihat keluar dari premis berkenaan.
Selepas ditahan, mereka membawa polis masuk ke premis berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib, selain melakukan penangkapan, pihaknya merampas lapan bilah parang panjang yang dipercayai biasa digunakan ahli kumpulan kongsi gelap.
Selain itu, polis merampas 16 unit CPU, dua komputer riba, 19 monitor, 31 telefon bimbit, dua modem dan pelbagai barangan pertaruhan.
Kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
#atas talian #haram #jenayah #judi #letupan #online #Ops Dadu #parang #polis #Setia Alam #shah alam #siasatan #sindiket
;