Sindiket judi dalam talian tumpas, tujuh suspek ditahan

Astro Awani
September 27, 2021 14:41 MYT
Ayob Khan menunjukkan barangan yang dirampas ketika serbuan dibuat terhadap sebuah sindiket perjudian dalam talian 23 Sept lalu, pada sidang media di IPK Johor di Johor Bahru hari ini. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Selepas empat bulan beroperasi, sebuah sindiket perjudian dalam talian tumpas dengan penahanan tujuh individu dalam serbuan di sebuah premis pada 23 Sept lalu.
Tujuh yang ditahan, berumur 18 hingga 34 tahun, termasuk seorang wanita, kata Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Menurutnya, kesemua suspek tersebut berperanan sebagai operator tambah nilai kredit dan cuci kredit selain bertanggungjawab berinteraksi dengan pelanggan.
Katanya, siasatan awal mendapati, suspek menerima bayaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan dan komisen 1 peratus.
"Sindiket ini mempunyai pelanggan yang dianggarkan lebih kurang 7,000 orang dengan kutipan harian antara RM15,000 dan RM20,000.
"Premis ini telah beroperasi sejak bulan Jun lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas enam set komputer, 35 telefon bimbit, dua modem wifi dan serangkai kunci rumah.
Kesemua suspek yang ditahan direman satu hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
#judi dalam talian #ayob khan mydin pitchay
;