Sindiket jual minyak pelincir tiruan di dua premis tumpas
Aida Aziz
Mac 20, 2025 06:50 MYT
Mac 20, 2025 06:50 MYT
Nilai rampasan keseluruhan melibatkan dua premis di daerah tersebut dianggarkan bernilai RM37,035.20. - Foto KPDN Perak
IPOH: Dua buah premis perniagaan di Bandar Seri Botani dan Batu Gajah diserbu pada Rabu lalu setelah didapati menjual barang tiruan melibatkan cecair penyelenggaraan kenderaan berjenama terkemuka.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sebanyak 748 unit minyak pelincir enjin, 1,304 unit minyak pelincir gear dan 22 unit cecair penyejuk enjin ditemukan di premis berkenaan.
Katanya, kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.
"Serbuan dilakukan hasil aduan dan maklumat oleh wakil pemilik cap dagang yang mengadu terdapatnya penjualan cecair penyelenggaraan kenderaan berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis berkenaan.
"Wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
"Kerana mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah seksyen 100.
"Iaitu kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, katanya semua barangan dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut.
Ujarnya lanjut, nilai rampasan keseluruhan melibatkan dua premis di daerah tersebut dianggarkan bernilai RM37,035.20.
Justeru itu, kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Tegasnya, KPDN memandang serius dalam melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama.
Ia bagi membanteras penjualan barang tiruan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing khususnya di Perak.