Sindiket jual beli hidupan liar bernilai puluhan ribu ringgit ditumpaskan
Harits Asyraf Hasnan
April 1, 2017 14:11 MYT
April 1, 2017 14:11 MYT
Jabatan Perhilitan berjaya menumpaskan beberapa sindiket melibatkan 11 individu yang menjalankan perniagaan jual beli hidupan liar atas talian termasuk memburu hidupan liar tanpa lesen.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata 50 hidupan liar diselamatkan dengan kos anggaran sekitar RM75,000.
"Dalam serbuan pada 27 Mac, tujuh orang ditangkap yang merupakan pembekal utama hidupan liar yang aktif menjalankan urusniaga haram penjualan hidupan liar secara atas talian.
"Jabatan Perhilitan telah lama memantau kegiatan mereka ini dan percaya telah menumpaskan sindiket utama penjualan hidupan liar menggunakan media sosial di Semenanjung Malaysia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Perhilitan di sini hari ini.
Jelasnya, 10 kes operasi penyeludupan dan jualan menggunakan pengangkutan bas dikesan berlaku sejak empat tahun lalu dan pembeli terdiri daripada pelajar kolej dan anak orang kaya sebagai hobi memelihara binatang liar.
"Modus operandi mereka jual dalam talian dan mereka disyaki mempunyai rangkaian penyeludupan dalam talian dan darat menggunakan bas dan sebagainya kian lama," ujarnya lagi.
Katanya, Jabatan Perhilitan turut menahan empat individu pada 29 Mac lalu kerana memburu hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen.
"Kementerian memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menjual, menyimpan dan memiliki hidupan liar tanpa kebenaran daripada Jabatan Perhilitan agar berhenti melakukannya serta merta atau menghadapi tindakan undang-undang," katanya.
Antara hidupan liar yang diselamatkan adalah 10 ekor lotong cengkung, kucing batu (6), musang (3), kura-kura spesis Indian Star (28), burung tiong mas (2) dan seekor kijang yang mati ditembak.
Pada masa sama, pihaknya sedang mengkaji peruntukan untuk meminda akta sedia ada untuk memberi hukuman yang lebih berat terhadap pesalah jenayah hidupan liar.
"Kami sedang mengkaji undang-undang sedia secara menyeluruh termasuk melibatkan Jabatan Perhilitan antaranya penguatkuasaan dan hukuman berat seperti merampas, menyita dan sebagainya supaya diberatkan lagi terhadap pesalah," jelasnya.