Sindiket forex berselindung di sebalik perniagaan telekomunikasi tumpas
Astro Awani
Disember 4, 2020 09:00 MYT
Disember 4, 2020 09:00 MYT
PUCHONG: Sindiket pelaburan forex dari China yang berselindung di sebalik perniagaan pemasaran telekomunikasi tumpas apabila markas mereka digempur polis pada malam Khamis.
Sindiket dikesan mula merekrut warga tempatan sebagai pekerja dengan tangkapan 38 ahli sindiket warga tempatan dan seorang wanita warga China di sebuan premis dekat Bandar Puteri Puchong.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata kegiatan mereka dikesan hasil aduan orang awam yang mengesyaki premis itu aktif dengan jenayah judi dalam talian kerana pergerakan keluar masuk pekerja ke premis yang ramai.
"Bertindak atas maklumat itu, polis bahagian risikan operasi siasatan jenayah dan jenayah komersial IPD Serdang melakukan pemantauan dan risikan ke atas syarikat berkenaan.
"Hasil serbuan mendapati 23 lelaki dan 15 wanita serta seorang pengelola syarikat sedang sibuk berurusan menggunakan telefon bimbit disyaki sedang memancing pelanggan.
"Namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati lesen syarikat itu menjalankan perniagaan penjualan barangan secara telekomunikasi," katanya.
Bagaimanapun kata Razali, tiada sebarang produk jualan ditemui di lokasi.
Pekerja mereka berperanan sebagai operator untuk menawarkan pelanggan dari China menyertai pelaburan disyaki forex dengan menggunakan aplikasi sosial seperti WeChat.
“Siasatan awal yang kita dapati iaitu bertanya dengan salah seorang daripada lembaga pengarah yang dilantik juga mengaku menjadi salah seorang yang menghubungi pelanggan.
“Dia juga menjadi individu yang memudah cara perniagaan itu memberitahu bahawa premis berkenaan adalah di dalam skop SSM. Dia mendakwa hanya bekerja untuk urusan pemasaran yang seharusnya berkenaan hal produk.
“Namun siasatan yang dibuat mendapati tiada sebarang produk dijual malah mereka mengaku melakukan kegiatan pelaburan atau forex menggunakan aplikasi WeChat,” katanya.
Jelas Razali, syarikat berkenaan sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan hanya mensasarkan mangsa dari warga China.
Tegasnya, polis turut merampas 39 set komputer, 23 telefon bimbit serta wang tunai sejumlah RM30,800.
Kesemua suspek berusia antara 20 sehingga 37 tahun dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Wanita warga China itu ditahan mengikut Peraturan 39b, Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua mereka juga dikompaun mengikut Peraturan 11 Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.
#China
#sindiket
#Imigresen
#forex
#Sindiket pelaburan forex
#Razali Abu Samah
#telekomunikasi
#WeChat