Sindiket ejen haram tumpas, 530 pasport pelbagai negara dirampas - JIM

Bernama
Ogos 30, 2024 16:00 MYT
Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket ejen haram dalam satu operasi khas semalam di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur. -Gambar hiasan/Jabatan Imigresen Malaysia
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket ejen haram dalam satu operasi khas semalam di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur iaitu Bandar Menjalara, Jalan Medan Tuanku, Jalan Tiong Nam dan Jalan Cheras.

Ringkasan AI
  • Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 13 orang dalam operasi khas di Kuala Lumpur, termasuk 11 warga Bangladesh, seorang warga India, dan seorang wanita tempatan.
  • Sebanyak 530 pasport pelbagai negara dirampas, termasuk pasport dari Bangladesh, India, Indonesia, dan beberapa negara lain.
  • Sindiket didapati menawarkan perkhidmatan berkaitan pasport dan visa kepada warga asing dengan bayaran RM500 bagi setiap perkhidmatan.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha berkata susulan itu 13 orang berumur antara 33 hingga 53 tahun ditahan dan 530 pasport pelbagai negara dirampas.
Beliau berkata daripada 13 orang yang ditangkap, 11 orang adalah lelaki warga Bangladesh dan seorang warga India serta seorang wanita tempatan yang dipercayai pemilik syarikat.
"Modus operandi sindiket adalah dengan menawarkan perkhidmatan untuk berurusan dengan JIM berkaitan pasport dan pas kepada warga asing seperti Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK) dan Visa.
"Kadar bayaran yang dikenakan RM500 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama setahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata semakan awal mendapati tiga warga Bangladesh dan seorang warga India mempunyai pas yang masih sah laku.
Selain itu, dua warga Bangladesh telah tinggal lebih masa dan warga asing lain yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Jafri berkata pasukan operasi turut merampas 530 pasport pelbagai negara terdiri daripada 414 pasport Bangladesh, India (57), Indonesia (36), Myanmar (9), Pakistan (7), Sri Lanka (4) dan masing-masing satu bagi pasport Filipina, Nepal serta Malaysia.
Beliau berkata turut dirampas lima set komputer, satu unit komputer riba, dua unit dekoder kamera litar tertutup, dua unit pencetak, 14 unit cop syarikat, kad perniagaan, kad pendaftaran CIDB, tiga keping sijil kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara dan wang tunai berjumlah RM13,900.
Beliau berkata kesemua warga asing itu kini ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3), Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Sementara itu, seorang wanita tempatan yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Selain itu, seramai enam warganegara Malaysia telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
#Jabatan Imigresen Malaysia #sindiket ejen haram #Pas Lawatan Kerja Sementara #pasport
;