Sindiket edar dadah lebih setengah juta ringgit tumpas

Bernama
November 25, 2022 13:49 MYT
Susulan penangkapan itu, suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 29 Nov ini.
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lepas dengan penahanan seorang lelaki selain merampas dadah heroin bernilai RM550,000 dalam serbuan di Kampung Kubu Gajah Dalam, Sungai Buloh dekat sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata suspek berumur 34 tahun itu ditahan di dalam sebuah kereta pada 5 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
"Hasil serbuan terhadap kenderaan jenis Honda CRV dinaiki suspek, polis menemukan tiga kotak mengandungi 90 bungkusan dadah heroin seberat 41 kilogram (kg). Suspek ditangkap sewaktu menunggu pelanggan mendapatkan dadah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata hasil siasatan mendapati bekalan dadah heroin dirampas daripada suspek itu turut diproses di sekitar Lembah Klang.
"Suspek masih bujang dan tidak mempunyai pekerjaan tetap menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utamanya. Hasil semakan tiada rekod lampau ditemukan," katanya.
Azmi berkata sindiket itu dikesan beroperasi dengan meletakkan bekalan dadah di dalam kereta tanpa dikunci untuk diambil oleh pembeli.
Arahan turut diberikan melalui telefon sebelum bayaran oleh pembeli dibuat secara bank in setelah bekalan (dadah) diterima, katanya.
Susulan penangkapan itu, suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 29 Nov ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi membantu siasatan.
Azmi berkata polis dalam masa sama sedang giat mengesan saki-baki ahli sindiket terbabit.
-- BERNAMA
#Azmi Abu Kassim #Polis Kuala Lumpur #Dadah #letak bekalan dadah di dalam kereta
;