Sindiket edar dadah ke negara jiran guna jalan laut tumpas
Bernama
Januari 28, 2024 22:28 MYT
Januari 28, 2024 22:28 MYT
JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah ke negara jiran menggunakan jalan laut selepas menahan lapan individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.735 juta dalam satu operasi khas pada 24 dan 25 Jan lepas.
Ketua Polis Johor CP M.Kumar berkata operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor itu dilakukan di sekitar Tampoi, di sini dan Parit Jawa di daerah Muar serta di Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Muadzam Shah, Pahang.
Beliau berkata kesemua lapan lelaki termasuk 'mastermind' sindiket itu merupakan warga tempatan berusia antara 23 dan 40 tahun.
"Modus operandi kegiatan sindiket ini adalah dengan menjadikan rumah sebagai transit dan stor penyimpanan dadah, sebelum ia diseludup ke negara jiran menggunakan jalan laut oleh tekong laut.
"Dipercayai sindiket ini aktif beroperasi sejak Jun tahun lepas dan kita sedang menyiasat serta mengesan individu lain yang turut terlibat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Kumar berkata pihaknya juga sedang menyiasat sekiranya terdapat makmal bagi memproses dadah dan penglibatan individu lain dalam sindiket tersebut.
Beliau berkata dadah yang dirampas dalam serbuan itu adalah 82.86 kilogram syabu, 2.78 gram pil ekstasi dan 2.50 gram ketamin.
Menurutnya turut disita lapan kereta dan 12 motosikal, pelbagai barang kemas, wang tunai berjumlah RM10,200 serta pelbagai jenis jam tangan dengan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.788 juta.
Sementara itu, beliau berkata hasil siasatan mendapati tujuh individu yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang dalam senarai dikehendaki.
Kesemua lapan individu itu direman tujuh hari bermula 25 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA