Sindiket edar, cuci dadah lama tumpas
Astro Awani
Ogos 11, 2022 15:49 MYT
Ogos 11, 2022 15:49 MYT
JOHOR BAHRU: Sindiket pengedaran dan mencuci dadah tumpas dalam tiga serbuan berasingan di Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pekan Nanas oleh polis pada Selasa.
Dalam serbuan itu, tiga suspek berusia 32 hingga 49 tahun, termasuk seorang wanita dan lelaki warga negara asing ditahan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata sindiket terbabit telah beroperasi sejak Mac tahun ini dengan menggunakan modus operandi menyewa apartmen mewah.
Katanya pihak polis merampas dadah jenis syabu seberat 11.13 kilogram, 4.23 kikogram ketamin dan 440 biji pil erimin 5.
Turut dirampas enam kenderaan serta wang tunai dengan nilai keseluruhan RM1.107 juta.
"Modus operandi adalah dengan menyewa kondo atau apartmen mewah yang ada guard, gated siap. Rumah tersebut disewa awal tahun ini dan jadikan rumah proses bersihkan dadah.
"Kita dapati chemical yang ada menunjukkan ada proses pencucian. Berdasarkan pengalaman kita ada proses pencucian. Dadah mungkin dadah lama nak dibaharukan iaitu dadah jenis ice atau syabu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor di sini hari ini.
Kesemua suspek katanya direman 7 hari sehingga 16 Ogos depan.
Kata Kamarul Zaman lagi, hasil siasatan awal mendapati, dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Manakala suspek warga negara asing turut disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara kerana memiliki pasport dan kad pengenalan disyaki palsu.