Sindiket dadah bernilai RM 11.56 juta ditumpas di Pulau Pinang

Astro Awani
Ogos 27, 2013 23:14 MYT
Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket dadah terbesar selepas sebuah makmal haram memproses dadah diserbu semalam di negeri itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pelbagai dadah jenis ekstasi, syabu, heroin, kafein, ganja dan pil perangsang bernilai RM 11.5 juta dirampas manakala enam orang ditahan dalam operasi besar-besaran selama 12 jam itu.
Menurut Noor Rashid , serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Machang Bubuk yang membawa kepada tangkapan dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah.
Ekoran itu, sebuah kelab di Jalan Macallister diserbu selepas mendapati bahagian belakangnya digunakan sebagai makmal proses dadah.
Katanya, dadah yang diproses digunakan untuk pasaran utara Semenanjung dan Lembah Klang.
Turut di rampas peralatan memprosesan dadah termasuk menyita dua buah kereta jenis Proton Waja dan Saga serta wang tunai RM30,660.
Tiga lelaki dari enam suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lama dan kesemua mereka ditahan reman tujuh hari bermula Selasa (Ogos 27) bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta 1952, sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori
#Dadah #Datuk Noor Rashid Ibrahim #pulau pinang #rampas #sindiket